Jumpa di mahkamah, kata Yusoff kepada setiausaha politik Anwar


shadow

MUHAMMAD Yusoff Rawther mengalu-alukan saman yang difailkan oleh setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Yusoff menyifatkan saman berkenaan sebagai cubaan mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu sebenar.

“Saya merujuk kepada laporan media berhubung saman yang difailkan terhadap saya oleh pembantu Anwar Ibrahim.

“Walaupun peguam saya memaklumkan masih belum terimanya, saya akan mempertahankan apa sahaja dan semua tuduhan terhadap saya, jadi saya mengalu-alukan saman ini.

“Ini hanya cubaan untuk alihkan perhatian masyarakat terhadap isu sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Farhash memfailkan saman terhadap bekas pembantu kajian Anwar itu kerana didakwa memfitnahnya pada satu sidang media 4 Disember lalu.

Yusoff mendakwa diserang secara seksual oleh Anwar, malah turut mendakwa polis gagal mengambil tindakan terhadap laporan beliau diserang oleh Farhash di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada Mei tahun lalu.

Kes serangan seksual itu bagaimanapun digugurkan oleh Pejabat Peguam Negara kerana kekurangan bukti.

Sementara itu, Farhash dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Yusoff mengeluarkan kenyataan fitnah itu dengan pengetahuan ia akan dilaporkan media tempatan serta rakman video berkenaan dimuat naik di Facebook dan platform media sosial lain.

Menurut Farhash, kata-kata Yusoff menggambarkan beliau seorang yang ganas, liar dan kaki pukul bertujuan mencemarkan imej dan reputasinya.

Sementara itu Yusoff berkata, beliau berharap saman berkenaan akan menjadi permulaan kepada kebenaran.

Farhash turut memohon perintah injuksi untuk menghalang Yusoff mengeluarkan atau terus menyiarkan kenyataan itu terhadapnya.

Pengurusan kes saman itu ditetapkan pukul 9 pagi esok.

Tinggalkan komen anda