Jelajah kemakmuran bersama bukan untuk hentam Anwar, kata Zuraida


shadow

JELAJAH Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dirancang tahun ini adalah untuk menjelaskan dasar kerajaan dan bukannya untuk mengkritik Anwar Ibrahim, kata Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Katanya, siri jelajah itu akan dimulakan selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina, bermula di Selangor dan diikuti di Sarawak.

“Kita akan fokus dengan inisiatif kerajaan kerana kita mahu bergerak ke hadapan dalam membina kerajaan.

“Kita tidak mahu lagi terlibat dengan isu (politik) lagi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Siri jelajah itu pertama kali diumumkan oleh Zuraida pada majlis makan malam WKB2020 di Kuala Lumpur, pada malam selepas kongres tahunan PKR di Melaka.

Majlis makan malam yang dianjurkan atas nama dasar kerajaan itu bagaimanapun bertukar jadi medan pimpinan parti mengkritik Anwar dan penyokongnya, yang digambarkan sebagai terlalu taasub dengan pelan peralihan kuasa perdana menteri.

Kumpulan penyokong timbalan presiden Mohamed Azmin Ali sebelum itu bertindak memulaukan kongres di Melaka kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan kongres. Mereka menyifatkan kongres itu digunakan untuk mengecam Azmin.

Sementara itu mengulas notis tuntutan maaf yang dihantar oleh setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kepadanya, Zuraida berkata ia akan diuruskan oleh peguamnya.

“Saya baru terima pada Khamis lalu, walaupun dia dakwa dah hantar sejak 23 Disember lalu,” katanya.

Farhash menghantar notis tuntutan itu kepada Zuraida berhubung ucapannya pada majlis makan malam WKB2030 di Kuala Lumpur.

Tinggalkan komen anda