Jangan terburu-buru dengan peralihan kuasa, kata Guan Eng


shadow

TIADA keperluan untuk Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membincangkan isu peralihan kuasa perdana menteri secara khusus sekarang, kata Lim Guan Eng kerana Dr Mahathir Mohamad sudah mengumumkan ia akan berlaku selepas November tahun ini.

Setiausaha agung DAP itu meminta semua pihak bertenang dan tidak terburu-buru dalam isu peralihan kuasa perdana menteri sebaliknya memberi ruang kepada Dr Mahathir mentadbir negara sehingga selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dijadualkan pada November ini.

“Tentu maksud Dr Mahathir saya percaya sekiranya Majlis Presiden tidak berpuas hati dan nak beliau letak jawatan itu boleh diputuskan Majlis Presiden dan beliau pernah sebut perkara itu dalam majlis.

“Tiada sebab perlu diadakan Majlis Presiden khusus bincang perkara ini kerana perdana menteri sudah sebut akan tinggalkan jawatan selepas November, akhir tahun ini, tak berapa lama lagi,” kata Lim kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Lim mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang berkata beliau sedia letak jawatan sekarang kalau itulah yang dimahukan oleh Majlis Presiden PH.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan gesaan beberapa pemimpin PKR dalam sebuah forum kelmarin yang mahu peralihan kuasa itu berlaku pada Mei ini, genap dua tahun PH mengambil alih Putrajaya.

Menurut Lim, beliau khuatir sebarang desakan supaya Dr Mahathir melepaskan jawatan lebih awal sebelum sidang kemuncak Apec di Kuala Lumpur boleh mencetuskan kekecohan.

“Biar ikut jadual yang beliau tentukan dan pastikan ia berjalan teratur dan tersusun tanpa sebarang kekecohan.

“Hanya dengan cara ini barulah kita boleh pastikan penyerahan kuasa berjalan lancar dan licin,” kata menteri kewangan itu.

Peralihan kuasa yang berlaku dalam keadaan aman dan tenang, kata Lim akan membantu bukan saja mewujudkan keadaan stabil dan kukuh untuk negara tetapi juga untuk pertumbuhan ekonomi.

“Jangan pertikai dan bangkit perkara yang tidak membantu pembangunan ekonomi. Banyak spekulasi akan timbul tapi saya lihat sebagai satu petunjuk yang beliau terbuka.

“Kalau Majlis Presiden PH buat keputusan beliau akan terima, tetapi jadual selepas Apec itu akhir tahun, biar ia dapat berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata proses peralihan kuasa yang lancar akan dapat memastikan keyakinan rakyat bertambah kepada PH, dalam usaha mengekalkan kuasa mereka untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sekiranya tidak dapat pastikan peralihan kuasa berjalan lancar dan licin, sukar untuk dapatkan keyakinan rakyat pada PRU15.

“Pastikan ekonomi tumbuh mampan, kita laksanakan dan memenuhi janji manifesto Pilihan Raya 2018 dan pastikan peralihan kuasa lancar.

“Kita jalankan tanggungjawab kita dan kita boleh berdepan rakyat dalam PRU15 dalam keadaan penuh keyakinan, barulah kita boleh berjaya, ” katanya.

Tinggalkan komen anda