Jangan berpuas hati dengan peningkatan CPI, kata Kit Siang


shadow

PENINGKATAN kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 hanyalah permulaan, dan perjuangan menentang rasuah mesti diteruskan untuk mencapai keputusan lebih baik, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata Malaysia tidak sepatutnya berpuas hati dengan peningkatan itu kerana negara masih berada di belakang 50 negara lain.

“Usaha antirasuah, walaupun luar biasa sejak perubahan kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018, harus dianggap sebagai permulaan.

“Malaysia tidak sepatutnya berpuas hati sehingga kita menjadi antara 30 negara teratas dalam integriti awam.

“Ini bermakna kita mesti mencapai skor dalam julat 60 mata,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam indeks yang dikeluarkan hari ini, Transparency International (TI) berkata Malaysia naik 10 tempat, kesan usaha berterusan Putrajaya membanteras rasuah di bawah kerajaan baharu. 

Dengan skor 53 mata, Malaysia kini menduduki tempat ke-51 daripada 180 negara yang ditinjau oleh badan pemantau rasuah antarabangsa itu.

Mengumumkan skor hari ini, Presiden TI-Malaysia, Muhammad Mohan berkata ranking lebih baik itu disebabkan oleh beberapa faktor seperti tindakan segera yang diambil oleh kerajaan mengenai skandal melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Felda dan Lembaga Tabung Haji.

Sementara itu Lim berkata pencapaian itu adalah hadiah Tahun Baru Cina terbaik untuk Malaysia. 

Beliau menambah ia sepatutnya menjadi pencetus kepada permulaan yang baik dalam menunaikan janji pilihan raya umum lalu dan satu pencapaian bagi 2020.

“Malaysia bukan sahaja menyasarkan skor CPI TI terbaik pada 2020, semua sektor masyarakat Malaysia perlu berusaha untuk memastikan Malaysia mendapat tempat 30 negara teratas dunia dalam integriti awam sebelum 2030,” katanya.

Tinggalkan komen anda