Isu tanah adat resolusi utama Orang Asli


shadow

KERAJAAN melalui satu jawatankuasa Kabinet sedang meneliti sebanyak 137 resolusi dikemukakan dalam Konvensyen Orang Asli Kebangsaan (KOAK) 2019, yang diadakan pada 22 April tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy berkata kerajaan pada masa sama turut menyediakan pelan tindakan bagi pelaksanaan resolusi itu yang dijadual siap sebelum penghujung tahun ini. 

“Resolusi yang merangkumi tujuh isu utama itu melibatkan isu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan selaras janji ke-38 Manifesto Kerajaan Pakatan Harapan iaitu ‘Membela Nasib Orang Asal di Semenanjung Malaysia’. 

“Isu tanah (tanah adat) merupakan perkara utama bagi masyarakat Orang Asli. Pengiktirafan hak tanah adat jelas dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan untuk masyarakat Orang Asli.

“Selain itu, berdasarkan keputusan kes mahkamah yang melibatkan tanah adat Orang Asli yang dibuat setakat ini, ia amat konsisten mengiktiraf dan memberikan hak berkenaan kepada golongan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini. 

Mengulas lanjut, Waytha Moorthy berkata terdapat sesetengah kerajaan negeri yang sengaja tidak mahu mengiktiraf tanah adat Orang Asli atas alasan meraih keuntungan daripada hasil hutan seperti kerja-kerja pembalakan. 

“Hakikatnya, apa yang ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan perlu dipatuhi oleh semua masyarakat khususnya golongan pemimpin. Tanah adat lazimnya berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri sama ada menteri besar dan ketua menteri, jadi mereka harus menghormati keputusan ini selain tidak boleh sewenang-wenangnya memberi tafsiran sendiri.

“Kegagalan mereka untuk berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang bagi melindungi hak Orang Asli. Malangnya kekangan kewangan oleh masyarakat Orang Asli sendiri untuk mendapatkan bantuan guaman dan memfailkan kes di mahkamah menyebabkan perkara ini masih berlaku sehingga kini,”. 

Waytha Moorthy menjelaskan masyarakat Orang Asli kini lebih terbuka dan menitikberatkan aspek pendidikan kepada anak-anak mereka.

“Meskipun ramai antara mereka yang masih mempertahankan cara hidup dan tradisi asal, namun kesedaran berhubung aspek pendidikan semakin meningkat,” katanya. 

Sementara itu, berkongsi mengenai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), Waytha Moorthy berkata kira-kira 100,000 orang telah menerima manfaat melalui peruntukan RM100 juta melalui Belanjawan 2020 yang lepas. 

Mitra memberi fokus kepada pembangunan sosio ekonomi masyarakat India khususnya golongan belia daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) antaranya melibatkan program dan kursus berimpak tinggi serta teknologi terkini seiring Revolusi Industri 4.0. 

“Mitra memberi nafas baharu kepada masyarakat India untuk mengubah taraf hidup mereka yang sering kali dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral. Hakikatnya, mereka tidak diberi peluang pendidikan dan pekerjaan yang sewajarnya seperti kaum lain mengakibatkan ramai di antara mereka terlibat dengan aktiviti jenayah. 

“Antara kursus dan latihan yang disediakan termasuklah kursus mengendalikan dron dan robotik. Kita mahu apabila selesai menjalani latihan mereka berpeluang mendapat pekerjaan dan pendapatan yang bagus. Dalam tempoh lima hingga 10 tahun mereka berupaya keluar daripada kelompok B40 kepada M40,” katanya. 

Waytha Moorthy berkata kira-kira 40% daripada peruntukan RM100 juta itu dimanfaatkan untuk program latihan kemahiran.

“Antara cara mengatasi masalah kemiskinan ialah melalui pendidikan tidak kira secara formal mahupun melalui kemahiran. Pendidikan tidak semestinya ijazah atau diploma lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berkemampuan.

“Di samping latihan yang bersesuaian, suasana persekitaran lebih selesa, pengangkutan, asrama (hostel), serta insentif lain turut disediakan kepada golongan belia India sebagai galakan untuk mereka,” katanya, sambil menambah kata bahawa kebanyakan program dijalankan secara projek rintis (pilot project) dan melibatkan 50 hingga 100 orang bagi satu-satu kursus atau latihan.

Tinggalkan komen anda