Isu hiasan Tahun Baru Cina ujian untuk Putrajaya


shadow

ADUN Sarawak melihat pertikaian mengenai hiasan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Selangor sebagai ujian sejauh mana liberalnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Wakil rakyat Batu Lintang See Chee How berkata kumpulan yang “mengubah apa sahaja dan segalanya kepada isu kaum dan agama” bukan lagi terpencil.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada aduan ibu bapa beberapa pelajar Islam SMK Bandar Puchong 1 dan ancaman daripada kumpulan hak asasi Melayu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang menganggap hiasan itu sebagai percubaan menyebarkan agama kepada pelajar.

“Nampaknya negara sedang berdepan cabaran daripada beberapa kumpulan berkepentingan dan orang yang menyokong ekstremisme dan berniat jahat – semuanya seolah-olah menguji had liberalisme yang dipromosikan pentadbiran baru,” kata See yang juga pengarah pilihan raya PKR Sarawak.

Ketika See melihat pertikaian itu sebagai ujian, seorang penganalisis politik beranggapan ia bukti hubungan antara kaum yang semakin buruk.

Dr Denison Jayasooria berkata di bawah pentadbiran PH, hubungan kaum bertambah buruk dalam tempoh dua tahun lalu dan beliau menyalahkannya kekurangan kepemimpinan politik dan kerjasama parti di kalangan ahli gabungan PH.

Selasa lepas, Ketua Menteri Abang Johari Openg, ketika ditanya apa yang mungkin menjejaskan hubungan kaum dan agama di negeri itu, beliau berkata “ketaksuban ekstrem” akan mmemburukkan keadaan jika tidak ditangani dengan betul.

Ketua menteri berkata walaupun majoriti penduduk Sarawak sederhana, beliau bimbang kemasukan fanatik dari Semenanjung bukan sahaja mengancam fabrik sosial negeri tetapi juga kestabilan politiknya. 

Tinggalkan komen anda