ICJ ada bidang kuasa, benarkan permohonan Gambia bela Rohingya


shadow

MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan ia ada bidang kuasa untuk mendengar pertuduhan Gambia terhadap Myanmar yang didakwa melakukan jenayah genosid ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya.

ICJ membenarkan tiga daripada enam permohonan Gambia untuk mendapatkan perintah sementara bagi melindungi Rohingya di Myanmar. 

Antaranya termasuk memaksa Myanmar tidak memusnahkan sebarang bahan bukti berkaitan kes serta melindungi Rohingya daripada sebarang tindakan genosid.

Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf yang mengetuai 15 barisan hakim berkata mahkamah mempunyai bidang kuasa yang memadai untuk memutuskan permohonan langkah segera yang dikemukakan oleh Gambia.

“Mahkamah memutuskan bahawa secara prima facie ia ada bidang kuasa di bawah Konvensyen Genosid,” katanya. 

Keputusan ICJ ini menyusul dapatan suruhanjaya siasatan di Myanmar beberapa hari lalu bahawa ada sesetengah anggota tentera mungkin terlibat dalam jenayah perang yang didakwa tetapi ia tidaklah sampai membabitkan pasukan tenteranya.

Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf yang mengetuai 15 barisan hakim berkata mahkamah mempunyai bidang kuasa yang memadai untuk memutuskan permohonan langkah segera yang dikemukakan oleh Gambia. – Gambar fail AFP, 23 Januari, 2020.

Semalam, lebih 100 badan masyarakat di Myanmar mengeluarkan kenyataan bersama mendukung kes di ICJ.

Mereka tidak yakin sistem kehakiman di Myanmar mampu mengendalikan kes sebesar itu malah sebaliknya membuka ruang kepada pelakunya meneruskan keganasan ke atas minoriti.

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi tampil di mahkamah di The Hague bulan lalu untuk mempertahankan kerajaan daripada tuduhan bersabit operasi tentera terhadap Rohingya pada 2017.

Kes terhadap Myanmar ini dikemukakan oleh Gambia selepas 740,000 pelarian Rohingya melarikan diri berlindung di sempadan Bangladesh.

Keputusan ICJ hari ini dilihat langkah pertama dalam usaha menegakkan keadilan yang mungkin memakan masa bertahun-tahun di mahkamah itu.

Gambia mengemukakan kes kepada ICJ dengan dukungan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam. Ia juga mendapat sokongan Kanada dan Netherlands.

Semasa perbicaraan bulan lalu, Gambia mendakwa Myanmar mencabul Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa Bersatu 1948. Ia memohon mahkamah campur tangan untuk mengelak pembantaian itu berulang. Ia juga memohon perintah mahkamah supaya Myanmar tidak menghapuskan bahan bukti.

Dalam pembelaannya Suu Kyi berkata Myanmar mampu menyiasat sendiri jenayah yang didakwa.

Awal minggu ini, suruhanjaya siasatan yang dibentuk di Myanmar mengumumkan beberapa anggota keselamatan telah melakukan jenayah perang namun ia tidak sampai ke tahap genosid.

Myanmar selama ini mendakwa operasi tentera ke atas Rohingya bertujuan membanteras kumpulan pemberontak yang sebelum itu menyerang dan membunuh anggota tenteranya.

Tinggalkan komen anda