Hari 66: Pendakwaan mohon Najib diambil tindakan


shadow

Perbicaraan yang memasuki hari ke-66 ini menandangan permulaan kepada sekurang-kurangnya lima prosiding jenayah yang akan dihadapi Najib Razak sepanjang 2020.

Empat kes jenayah lain yang bakal dihadapi bekas perdana menteri itu akan diadakan di mahkamah lain, ialah tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM2.28 bilion milik 1MDB, RM6.64 bilion dana IPIC International Petroleum International Corp (IPIC), pindaan laporan akhir audit 1MDB, dan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) melibatkan dana RM27 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, menyambung soal balas ke atas Najib yang kini dibicarakan atas dakwaan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram wang SRC sebanyak RM42 juta.

Najib dibicarakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tertuduh diwakili sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

LANGSUNG

9.47 pagi: Sithambaram memohon agar Najib dikenakan tindakan kerana didakwa memberi keterangan bercanggah dalam keterangannya.

“Buat masa ini, saya ingin memohon untuk mencabar kredibiliti saksi ini (Najib) mengikut Seksyen 145 (1) dan Seksyen 155 (c) Akta Keterangan,” kata Sithamabram.

Isu itu timbul selepas Najib mengakui – semasa disoal balas timbalan pendakwa raya itu – bahawa berlaku perbezaan dalam kenyataan saksi yang diberikan hari ini dengan apa yang diberikan semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Najib merujuk kepada apa yang diberitahunya kepada SPRM dan kenyataan saksi di mahkamah mengenai beberapa dokumen penting yang dilihat – dan ditandatanganinya – berhubung kes SRC sekarang.

Antara dokumen itu ialah minit mesyuarat SRC yang dikaitkan dengan pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2012.

9.22 pagi: Tertuduh memasuki kandang saksi untuk disoal balas Sithambaram. Turut kelihatan berada dalam mahkamah ialah Shafee.

Najib yang juga bekas presiden Umno itu mula menjawab soalan Sithambaram selepas selesai mengangkat sumpah.

Tinggalkan komen anda