Hamas selar Israel enggan serah kutipan cukai kepada Palestin


shadow

HAMAS pada Rabu menggesa pentadbiran Palestin agar bekerjasama dengannya dan kumpulan lain di negara itu bagi membantah keputusan Israel yang enggan menyerahkan kutipan cukai penduduk Palestin berjumlah berjuta-juta dolar, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Hamas.

Dalam kenyataan itu, jurucakap Hamas Hazem Qassem berkata keputusan tersebut sekali lagi membuktikan “sikap lanun Israel.”

Kabinet keselamatan Israel pada Ahad mengundi untuk memotong sebanyak AS$43 juta daripada jumlah dana cukai yang dipindahkan pentadbiran Israel setiap bulan kepada Pihak Berkuasa Palestin. 

Palestin berkata dana itu diperlukan untuk membantu keluarga yang terjejas akibat keganasan dan pendudukan Israel. 

Kabinet turut meluluskan langkah menahan sejumlah AS$144 juta dana cukai yang dikutip daripada penduduk Palestin pada bulan Februari tahun lepas. 

Qassem juga menggesa agar kumpulan-kumpulan di Palestin bekerjasama dalam membantah pelaksanaan dasar dan keputusan pentadbiran Israel serta Menteri Pertahanannya, Naftali Bennett, terhadap Palestin dan tahanan Palestin. 

Sekatan Israel selama 13 tahun ke atas Semenanjung Gaza telah menjejaskan ekonomi enklaf pesisir itu dan menafikan kebebasan bergerak dua juta penduduknya untuk masuk dan keluar dari Gaza, selain menghalang kemasukan banyak kemudahan asas.

Tinggalkan komen anda