DR Habibah Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu menggantikan Dr Amin Senin yang bersara wajib sejak bulan lalu, umum Kementerian Pendidikan.
Beliau sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum).
“Berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, kementerian yakin Dr Habibah mampu untuk terus meningkatkan lagi prestasi pendidikan negara selaras dengan hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025,” kata Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini.
Habibah, 58, mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan sejak 1986, bermula sebagai guru di sekolah rendah dan menengah sebelum menyambung perkhidmatan di kementerian.
Beliau pernah menjadi pensyarah kanan di Institut Aminuddin Baki serta mengetuai bahagian perancangan dan penyelidikan dasar, dan unit pelaksanaan dan prestasi pendidikan.
Habibah mempunyai ijazah doktor falsafah dalam bidang pendidikan dari Stanford University, Amerika Syarikat pada 2001.
Pada 26 Disember lalu, Habibah mewakili Kementerian Pendidikan dalam dialog mengenai kontroversi isu tulisan Jawi bersama badan pendidikan Cina Dong Zong dan beberapa pertubuhan lain.
Tinggalkan komen anda