Garis panduan PPR diperkenal Jun ini, kata menteri


shadow

SATU garis panduan akan diperkenalkan bagi permohonan baharu untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), antaranya mengandungi pelaksanaan sistem demerit, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka garis panduan itu yang dijangka dikeluarkan Jun ini.

“Garis panduan itu juga mempunyai kaedah menapis pemohon PPR berpotensi dengan teliti seperti mengikut jumlah pendapatan, selain mewajibkan pemohon mengikuti induksi sebelum dibenarkan menduduki rumah, katanya.

“Kita juga akan memberi demerit sistem, yang mana mereka harus menepati peraturan yang cukup ketat, dan sesiapa yang melanggar peraturan-peraturan ini, kita berhak mengusir mereka keluar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pencapaian 2019 KPKT di Putrajaya hari ini.

Menurutnya menerusi garis panduan itu, selain memastikan hanya mereka yang benar-benar susah dan layak menduduki rumah berkenaan, ia juga akan memastikan harta benda sertakawasan persekitaran di PPR akan lebih terjaga dan terurus.

Terdahulu semasa berucap di hadapan warga KPKT itu, Zuraida berkata beliau mahu semua mereka sentiasa bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain bagi memastikan segala sasaran kementerian tercapai.

Tinggalkan komen anda