FILIPINA akan menghentikan penghantaran pekerja baharu ke Kuwait buat masa ini sementara pihak berkuasa meneliti insiden pembunuhan seorang pekerja negara itu baru-baru ini yang didakwa dilakukan majikan wanitanya, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Setiausaha Buruh Filipina Silvestre Bello pada Khamis.
“Kami akan mengisytiharkan larangan penghantaran sebahagian pekerja yang bermakna kami tidak akan menghantar pekerja baharu,” kata Bello kepada pemberita.
Bagaimanapun, Bello berkata Filipina akan membenarkan pekerja yang pulang meninggalkan negara itu untuk kembali kepada majikan mereka namun tidak akan menghantar pekerja baharu, terutama pembantu rumah.
Menurut media Filipina, Jeanelyn Villavende, seorang pembantu rumah Filipina telah dibunuh di Kuwait baru-baru ini dan perbuatan itu dilakukan oleh isteri majikannya yang merupakan rakyat Kuwait.
“Kini sama ada perkara ini bakal menghasilkan larangan sepenuhnya bergantung kepada apa yang akan dilakukan pihak berkuasa Kuwait untuk memberi keadilan kepada pekerja wanita malang itu yang berasal dari negara kita,” kata Bello.
Pejabat Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah meluahkan “rasa berang” atas kematian pekerja Filipina itu.
“Kami menganggap kematian tragik Jeanelyn sebagai satu pengabaian jelas perjanjian yang dimeterai antara negara kita dan Kuwait pada 2018 yang bertujuan menegakkan serta melindungi hak-hak dan kebajikan pekerja kita di Kuwait,” kata jurucakap Duterte, Salvador Panelo, pada Rabu.
Panelo berkata Jabatan Hal Ehwal Luar kini memantau rapat kes itu “kerana kami berharap keputusannya akan dapat menegakkan keadilan kepada si mati dan keluarganya.”
Kuwait merupakan sebuah destinasi buruh utama bagi rakyat Filipina di Timur Tengah dengan lebih 250,000 orang bekerja di negara itu ketika ini, kebanyakannya sebagai pembantu rumah.
Bagaimanapun, insiden mendera pembantu rumah Filipina, yang sesetengahnya mengakibatkan kematian, telah mendorong Manila untuk menguatkuasakan larangan penghantaran pekerja negara itu ke Kuwait pada awal 2018.
Larangan itu bagaimanapun ditarik balik pada Mei 2018 selepas Filipina dan Kuwait menandatangani satu memorandum persefahaman yang memberikan perlindungan dari segi perundangan kepada pembantu rumah Filipina di negara Teluk tersebut.
Di bawah memorandum itu, Filipina dan Kuwait bersetuju menegakkan dasar pengambilan, sistem dan prosedur yang beretika bagi pengambilan serta penggajian pekerja domestik, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang terpakai kepada kedua-dua pihak.
Tinggalkan komen anda