Fi kesihatan swasta tidak akan bebankan rakyat, kata Menteri Kesihatan


shadow

KERAJAAN ada cara untuk mengawal fi perundingan klinik swasta daripada terlalu melampau sehingga membebankan rakyat, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, susulan pemansuhan kawalannya.

Beliau menjelaskan pemansuhan kawalan fi itu masih di peringkat awal dan kerajaan sedang bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta untuk memastikan ia tidak menjadi beban pada rakyat.

“Langkah ini sebenarnya berniat untuk memulangkan kembali kuasa kepada rakyat untuk memilih. 

“Sekiranya fi yang tinggi dikenakan, kita ada cara tersendiri untuk mengawalnya. 

“Klinik atau hospital swasta yang kenakan caj tinggi juga akan menjadi kurang popular di kalangan pengguna,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen anti merokok Suarakan Hak Anda di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 6 Disember lalu, kerajaan memansuhkan kawalan fi perundingan mengikut Akta Kemudahan Perkhidmatan dan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) membabitkan semua fasiliti berdaftar dan berlesen.

Menurut Dulkefly, pemansuhan itu masih di peringkat awal dan beliau akan membentangkan memorandum lebih khusus pada mesyuarat Jemaah Menteri .

Dengan pemansuhan kawalan fi perundingan, pengamal perubatan dan pengamal pergigian swasta akan dapat menentukan kadar fi perundingan yang dikenakan ke atas pesakit.

“Pesakit pula boleh menilai dan membuat keputusan awal jika fi perundingan yang ditawarkan adalah berpatutan,” katanya.

Dzulkefly berkata, keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan lagi kuasa pengguna.

Katanya, Kabinet juga sudah menilai perkara itu secara holistik dan komprehensif serta mengambil kira saranan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

Kabinet juga prihatin terhadap keperluan bagi kadar baru kerana fi berkenaan belum pernah dipinda sejak ia mula dikuatkuasakan pada 2006.

Katanya lagi, susulan keputusan berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperincikan beberapa peraturan baharu dan memperkukuhkan peraturan sedia ada bagi memberi penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan yang lebih telus dan mesra pesakit.

“Antara lain, fi perundingan mestilah dipamerkan dengan jelas di pintu masuk klinik agar pesakit maklum akan fi perundingan sebelum mendapatkan rawatan,” katanya.

Media melaporkan sebelum ini, sekiranya terdapat pesakit yang kurang berpuas hati dengan caj atau perkhidmatan yang diterima di mana-mana fasiliti kesihatan swasta, mereka boleh membuat aduan kepada KKM untuk siasatan lanjut.

Tinggalkan komen anda