Dua hari tak kelihatan, rupanya sudah meninggal dunia dalam rumah


shadow

KAMPAR: Seorang lelaki warga emas yang tidak kelihatan oleh jiran tetangga selama dua hari ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Taman Golden Dragon, di sini pada Ahad.

Difahamkan mangsa yang dianggarkan berusia 80 tahun itu ditemui selepas pihak bomba menerima panggilan dari jirannya berhubung kejadian itu.

Menerusi kenyataan dari jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar menerima panggilan itu pada jam 8.25 malam.

“Kejadian melibatkan seorang mangsa berbangsa Cina berumur 80 tahun terkunci di dalam sebuah rumah.

“Makluman awal dari jiran, mangsa tidak keluar rumah selama dua hari dan mereka telah cuba memanggilnya dari luar namun tiada jawapan. Lalu melaporkan kes kepada bomba.

“Tiada maklumat pengenalan diri berkaitan mangsa dijumpai di rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, anggota bomba kemudiannya bertindak memotong mangga di pintu untuk masuk ke dalam rumah dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans.

Ujarnya, kes kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hariri Kamaruddin itu tamat pada pukul 9.10 malam.

Tinggalkan komen anda