Diskaun 18% tol PLUS mulai tengah malam ini


shadow

PENGURANGAN kadar bayaran tol sebanyak 18% bagi lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan berkuatkuasa 1 Februari 2020, mulai 12 tengah malam ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Diskaun melibatkan Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Diskaun sebanyak 18% itu akan diberi kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi.

“Kadar tol untuk kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat tempoh konsesi” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri pada 17 Januari lalu mengumumkan pengurangan kadar tol PLUS berkuatkuasa 1 Februari.

Tempoh konsesi PLUS juga akan dilanjutkan lagi 20 tahun iaitu dari 2038 kepada 2058. Pestrukturan semula itu sejajar dengan keputusan untuk mengurangkan kadar tol, tambah Pejabat Perdana Menteri.

Ini bermakna tiada kenaikan kadar tol di semua lebuh raya PLUS sehingga 38 tahun akan datang.

Lim juga berkata seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2020, kadar tol untuk kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang juga akan disamakan dengan kadar tol baharu Jambatan Pertama Pulau Pinang selepas diskaun 18% bermula 1 Februari.

Tambahnya lagi, penstrukturan semula konsesi PLUS akan memberi penjimatan sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058.

Bagi tahun ini, kerajaan dan pengguna lebuh raya PLUS dijangka memperoleh penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung, termasuk penjimatan sebanyak RM500 juta daripada diskaun 18% dan juga penjimatan RM600 juta daripada bayaran pampasan Kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

Beliau berkata penurunan kadar tol ini merupakan satu langkah besar ke arah memenuhi janji untuk menghapuskan tol secara berperingkat dengan merunding semula perjanjian konsesi lebuh raya, seperti dinyatakan manifesto Pakatan Harapan.

Penjimatan hasil daripada langkah ini akan dapat disalurkan untuk program kebajikan dan pembangunan ekonomi yang akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan, kata Lim.

Tinggalkan komen anda