#CROSSTourinKL: Yoon WINNER terima kejutan awal sambutan hari jadi daripada peminat Malaysia


shadow

JIKA pada kebiasaannya, selebriti K-Pop membuat kejutan untuk peminat tatkala mengadakan persembahan, lain pula yang berlaku di konsert “WINNER [CROSS] Tour in Kuala Lumpur” di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil malam tadi.

Kali ini, Inner Circle (nama fandom WINNER) Malaysia pula yang mengejutkan idola kegemaran mereka pada Sabtu.

Inner Circle Malaysia yang juga dikenali sebagai MyPrideWinner tampil dengan kejutan awal hari jadi buat ketua kumpulan WINNER iaitu Yoon yang menyambut kelahiran pada 21 Januari.

Ia merupakan sebahagian daripada “fan project” yang diiringi sebiji kek dan nyanyian lagu “selamat hari jadi” dalam Bahasa Korea.“Kek tersebut direka pereka kami untuk menyambut hari jadi ke-27 Kang Seung Yoon.

“Corak kartun anjing pada kek tersebut sebenarnya merupakan anjing peliharaan Yoon yang bernama Thor,” kata wakil daripada MyPrideWinner apabila dihubungi Astro AWANI di laman Twitter pada Sabtu.

Tentunya, usaha peminat WINNER Malaysia tidak sia-sia!

Yoon sungguh gembira dengan kejutan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada peminatnya.

“Ia bukan hari jadi saya, tetapi terima kasih atas segala ucapan hari jadi.

“Ini merupakan antara sambutan hari jadi yang paling gembira buat saya.

“Terima kasih kerana mencipta memori indah ini. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat bersama kalian pada konsert jelajah ini,” kata Yoon.

Katanya lagi, beliau berharap peminatnya akan menyimpan memori indah tersebut dalam kenangan.

“Setiap momen bersama ialah momen indah buat kami.

“Saya berharap kalian akan mengingati momen ini sehingga kita berjumpa lagi,” tambahnya.

Konsert anjuran iME Entertainment itu menyaksikan kumpulan yang dibarisi empat jejaka tampan (Mino, Hoony, Jinu dan Yoon) mendendangkan lebih 30 lagu, mencuri hati peminat Malaysia.

Konsert WINNER [CROSS] Tour turut melibatkan enam lokasi yang lain seperti Seoul, Taipei, Jakarta, Bangkok, Manila dan Singapura.

  • astro Awani



Tinggalkan komen anda