China tingkat usaha bendung virus dari Wuhan


shadow

CHINA meningkatkan usaha membendung virus baru yang setakat ini mengorbankan sembilan nyawa dan menjangkiti lebih 440 orang daripada merebak, selepas pihak berkuasa kesihatan mengesahkan ia boleh disebar oleh manusia, lapor media.

Pihak berkuasa di Wuhan, tempat virus itu mula dikesan bulan lepas, mengumumkan beberapa langkah berjaga-jaga, termasuk membatalkan sambutan Tahun Baru Cina hujung minggu ini.

Pihak berkuasa di China dipetik berkata mereka kini berada pada peringkat “paling kritikal”.

Agen pelancongan juga disekat daripada membawa rombongan keluar dari Wuhan, lapor CNN.

Polis juga dikerah untuk memeriksa kenderaan keluar masuk, khusus bagi mengesan ternakan dan haiwan selepas virus itu dikaitkan dengan makanan laut dan haiwan.

Langkah berjaga-jaga ini dibuat selepas Presiden China Xi Jinping pada Isnin mengarahkan usaha tuntas untuk membendung virus itu daripada merebak.

Mereka juga bimbang keadaan diburukkan lagi dengan pergerakan jutaan penduduk yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut tahun baru.

Sehingga ini, virus baru itu sudah merebak ke Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, dan Amerika Syarikat.

Setakat ini virus berkenaan tidak dikesan di Malaysia, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, semalam.

Virus yang dikenali dengan nama rujukan 2019-nCoV menyebabkan gejala radang paru-paru, demam, batuk, dan sesak nafas.

Tinggalkan komen anda