BNM pertimbang risiko perubahan iklim terhadap industri kewangan


shadow

PERUBAHAN iklim menular dengan cepat dan menjadi sumber utama perubahan struktur yang telah atau mungkin memberi impak besar ke atas sistem kewangan dan ekonomi secara meluas.

Menyedari risiko dan impaknya, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan kertas perbincangan tentang Perubahan Iklim dan Taksonomi berasaskan Prinsip yang bertujuan memberi gambaran menyeluruh mengenainya.

Kertas perbincangan ini akan menjadi panduan untuk memudahcarakan institusi kewangan dalam mengenal pasti dan mengklafikasikan aktiviti  ekonomi yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Objektif dokumen ini antara lain adalah untuk institusi kewangan meningkatkan kesedaran dan bertindak aktif terhadap perubahan iklim dan mengenal pasti aktiviti ekonomi yang menyumbang kepada objektif perubahan iklim.

“Ia juga bertujuan untuk menyediakan dan membangunkan keupayaan dalam mengurus risiko kewangan akibat perubahan iklim,” kata BNM dalam kertas perbincangan yang dikeluarkan minggu lepas.

Bank Pusat berkata perubahan iklim dan impaknya dapat dilihat dalam tiga dimensi risiko iaitu risiko fizikal, risiko peralihan dan risiko liabiliti.

Risiko fizikal muncul daripada peristiwa berkaitan iklim, yang merosakkan harta benda, mengurangkan produktiviti dan mengganggu perdagangan.

Risiko peralihan sebaliknya muncul daripada peralihan kepada ekonomi rendah karbon, yang mungkin melibatkan perubahan dasar, undang-undang, teknologi, dan perubahan pasaran, bagi menangani keperluan mitigasi dan penyesuaian berkaitan perubahan iklim.

Risiko liabiliti pula melibatkan risiko dan tuntutan undang-undang terhadap kerosakan dan kerugian yang ditanggung akibat kesan risiko fizikal dan peralihan.

Oleh itu, BNM menggalakkan institusi kewangan mengambil tindakan untuk menimbang risiko berkaitan iklim dalam operasi perniagaan mereka dan membuat keputusan. Ini juga termasuk menggalakkan aliran kewangan untuk aktiviti yang akan menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan iklim ekonomi mampan.

Dokumen ini dibangunkan sebagai rujukan kepada piawaian antarabangsa dan panduan selain sebagai Dokumen Panduan Rangka Kerja Penilaian Impak Pembiayaan dan Pelaburan Pengantara Berasaskan Nilai  (VBIAF).

Dokumen ini akan menjalani tempoh perundingan awam sebelum dimuktamadkan.

Untuk itu, BNM mahukan maklum balas bertulis mengenainya, termasuk cadangan dalam bidang khusus supaya dapat diperjelaskan atau ditingkatkan lagi, selain cadangan alternatif yang perlu dipertimbang oleh Bank.

Untuk memberikan maklum balas yang lebih komprehensif, bank pelaburan juga dilibatkan dalam proses perundingan.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga akan mendapatkan maklum balas daripada industri Pengurusan Dana mengenai kertas perbincangan, yang kelak akan diserahkan kepada Bank Pusat.

Maklum balas mesti dikemukakan kepada Bank sebelum atau pada 31 Mac, 2020.

Tinggalkan komen anda