Bicara saman fitnah Sultanah Terengganu pada 7 Disember


shadow

MAHKAMAH Tinggi menetapkan empat hari mulai 7 Disember tahun ini untuk perbicaraan kes saman fitnah dikemukakan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan kehadiran peguam yang  mewakili Sultanah Nur Zahirah, A Vishnu Kumar dan peguam Americk Singh Sidhu, yang mewakili Rewcastle Brown.

Semasa ditemui pemberita, Vishnu Kumar berkata hakim turut menetapkan 2 Mac untuk pengurusan kes bagi pihak untuk memberi makluman terkini kepada mahkamah berhubung status rayuan para defendan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah tentang Perintah14A, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Pada 13 Disember tahun lepas, Hakim Zaidi memutuskan Sultanah Nur Zahirah, sebagai plaintif, tidak perlu memberi keterangan dalam saman fitnah baginda selepas membenarkan permohonan baginda mengikut Perintah  14A untuk kes itu diputuskan mengikut lunas undang-undang.

Hakim juga memutuskan bahawa kes itu akan diputuskan menerusi keterangan Rewcastle Brown dan dua yang lain iaitu penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin, dan syarikat pencetak  Vinlin Press Sdn Bhd.

Pada 24 Oktober tahun lepas, Americk Singh Sidhu berhujah anak guamnya mahu saman itu diputuskan menerusi kaedah perbicaraan penuh supaya beliau boleh memanggil pakar bahasa untuk memberi keterangan.

Pada 21 November tahun lepas, Sultanah Nur Zahirah menyaman Rewcastle Brown atau Clare Louis Brown, Chong dan Vinlin Press sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga, mendakwa defendan pertama membuat kenyataan yang memperkecil-kecilkan baginda di dalam bukunya, “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Plaintif mendakwa kenyataan itu bermaksud yang baginda terlibat dalam amalan rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baginda mendakwa kenyataan itu juga menyalahtafsirkan baginda sebagai telah membantu Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat  TIA.

Sultanah Nur Zahirah menegaskan baginda tidak pernah terlibat dalam pentadbiran negeri Terengganu dan penubuhan TIA dan oleh itu kenyataan itu memfitnah dan mencemarkan nama baik baginda.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan kedua (penerbit)  menarik balik buku yang mengandungi kenyataan memfitnah itu dan defendan ketiga menghentikan pencetakan buku selanjutnya. – Bernama

Tinggalkan komen anda