Beli kerusi dan meja: JPN pandang serius


shadow

“JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) akan melihat secara serius perkara berkenaan,” kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau memberi jawapan ringkas itu ketika diminta mengulas mengenai isu kekurangan kerusi dan meja di sebuah sekolah di Batu Berendam, Melaka.

Dr Maszlee berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan lawatan dan sesi ramah mesra dengan 11 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa di Kuala Lumpur hari ini.

Isu berkenaan mula timbul selepas terdapat dakwaan daripada ibu bapa yang menerima arahan untuk membeli kelengkapan itu supaya diterima masuk oleh pihak pengurusan sekolah terbabit.

Perkara itu mendapat perhatian warganet selepas tularnya gambar kerusi dan meja dibeli ibu bapa di media sosial.

Bagaimanapun, Pengarah JPN Melaka Dr Mohd Azam Ahmad menerusi kenyataannya di portal Harian Metro semalam memaklumkan pihak sekolah tidak boleh dan tidak dibenarkan mengeluarkan arahan kepada ibu bapa membeli kerusi dan meja bagi anak mereka berada di sesebuah sekolah.

Beliau yang baharu saja mengambil alih jawatan itu selepas menerima watikah pada 30 Disember lalu juga memberi jaminan akan mengambil tindakan serius berhubung isu berkenaan.

-myMetro

Tinggalkan komen anda