Bekas banduan dicekup lagi


shadow

SIMUNJAN: Seorang lelaki yang pernah menjalani hukuman penjara dua tahun lalu, sekali lagi ditahan polis selepas dia disyaki terbabit dalam kes pecah rumah, di sini.

Lelaki berusia 23 tahun itu menjadi buruan polis sejak hampir sebulan lalu selepas menceroboh dan merompak di dua rumah berdekatan pekan Simunjan.

Menyedari polis memburunya, lelaki terbabit bersembunyi di sebuah kampung di Batu 12, Jalan Puncak Borneo, Padawan, namun dia berjaya dikesan, semalam.

Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Merbin Lisa, berkata bertindak atas maklumat, anggotanya menyerbu sebuah rumah dan berjaya menahan suspek.

Merbin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun pada 25 Disember lalu mengenai rumahnya yang dipecah masuk pada tengah malam melalui pintu belakang.

Katanya, ketika itu mangsa berada di dalam bilik dan terdengar pintu belakang rumahnya diumpil tetapi tidak berani keluar atas faktor keselamatan dan keesokan harinya beliau mendapati satu unit komputer riba serta tabung wang syiling miliknya hilang dengan kerugian dianggarkan RM3,000.

“Hasil soal siasat, suspek yang juga penduduk kampung berhampiran Pekan Simunjan mengaku memecah masuk rumah mangsa dalam kejadian yang dilaporkan pada 25 Disember itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merbin berkata, suspek mengaku sudah menjual komputer riba yang dicurinya, namun tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Simunjan berjaya menemuinya semula, semalam.

Katanya lagi, suspek juga mengaku terbabit dengan satu lagi kes pecah rumah di kawasan sama, dengan mencuri ‘sport rim’ kereta dan satu tong gas dengan nilai kerugian kira-kira RM1,000.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan semakan rekod lampau mendapati dia pernah dipenjara selama enam bulan pada 2018 atas kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Tinggalkan komen anda