Azwan Bro desak Latheefa letak jawatan, dihadap ke jawatankuasa Parlimen


shadow

KHAIRUL Azwan Harun mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya meletak jawatan selepas mendedahkan rakaman audio konspirasi memanipulasi maklumat kerajaan peringkat tertinggi berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd pada 2016.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, senator Barisan Nasional yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro itu berkata tindakan SPRM itu bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Khairul juga mahu Parlimen merujuk Latheefa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana merosakkan kewibawaan dan reputasi SPRM.

“Kenyataan dan andaian yang dibuat oleh Latheefa Koya di sidang media itu adalah tindakan drama politik murahan beliau semata-mata.

“Malah, tindakan beliau itu amat mengaibkan serta menjejaskan reputasi saya.

“Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa saya terlibat dalam urusan 1MDB dan SRC dalam apa cara jua pun.

“Saya juga menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa saya kononnya terlibat dalam sebarang bentuk konspirasi seperti yang dinyatakan di sidang media itu,” katanya.

Nama Azwan disebut dalam rakaman dibuat pada 2016 melibatkan perbualan Rosmah Mansor dengan Najib Razak ketika berbincang isu 1MDB dengan ketua SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohamed.

Azwan juga berkata beliau bersetuju dengan pendirian Badan Peguam yang SPRM tidak seharusnya mendedahkan rakaman perbualan peribadi melibatkan Najib, Rosmah dan beberapa individu berprofil tinggi lain.

Latheefa, ketika mendedahkan rakaman audio yang dibuat secara sulit itu berkata perbualan tersebut menunjukkan terdapat “salah guna kuasa serius, konspirasi jenayah, halangan proses keadilan dan mengancam keselamatan negara.”

Katanya lagi, kini terpulang kepada hakim untuk menentukan kebolehterimaan rakaman tersebut sebagai bukti sekiranya ia dibawa ke mahkamah.

Perbualan yang didedahkan itu melibatkan rancangan memanipulasi maklumat sulit kerajaan peringkat tertinggi dan permohonan Najib untuk menyelesaikan isu tertentu berkaitan skandal 1MDB.

Tinggalkan komen anda