Asid sulfurik, Lysol tumpah di stor makmal sekolah


shadow

JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak mengambil masa kira-kira dua jam membersihkan tumpahan bahan kimia asid sulfurik dan lysol di dalam kabinet stor makmal Sekolah Menengah Kebangsaan Maharajalela di Parit, hari ini.

Jurucakap JBPM Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.55 pagi ini sebelum 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh digerakkan ke lokasi kejadian.

Tumpahan bahan itu di dalam bentuk cecair dan mengeluarkan bau yang tengik namun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada guru atau pelajar.

“Pasukan Hazmat yang tiba di tempat kejadian diarah oleh komander operasi menghantar dua orang ‘chemical diver’ untuk mengenalpasti masalah dengan menggunakan empat gas meter namun tiada sebarang bahan yang merbahaya ditemukan.

“Pasukan Hazmat seterusnya membuat peneutralan bahan itu menggunakan ‘chemical binder’ dan dialihkan dan diletakkan dalam sebuah bekas. Pasukan seterusnya membuat ‘ventilation’ di makmal itu selain membuat pemeriksaan akhir menggunakan ‘gasmed detectors’,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Kawasan sekolah berkenaan diisytiharkan selamat dan operasi tamat pukul 2.00 petang ini.

Tinggalkan komen anda