Anwar tolak spekulasi wujud plot antara Dr M, Abdul Hadi


shadow

ANWAR Ibrahim menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan politik di Putrajaya susulan pertemuan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Presiden PKR itu berkata Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan semua pihak termasuk mereka dari pembangkang.

“Sesiapa saja boleh jumpa dengan beliau,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Universiti Sultan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu hari ini.

“(Perubahan landskap politik negara) itu tafsiran umum…setakat yang PM (perdana menteri) beritahu ianya begitu (perjumpaan biasa). PM Mahathir kata dia boleh jumpa sesiapa, dia jumpa saya kerap lagi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau turut mempunyai rancangan untuk berjumpa dengan Abdul Hadi, beliau berkata tiada masalah untuknya berjumpa dengan sesiapa.

“Saya tiada masalah untuk jumpa sesiapa…saya tidak ambil permusuhan peribadi dengan sesiapa,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar menunjukkan Dr Mahathir menerima kunjungan Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. 

 Pada Isnin, Dr Mahathir menolak dakwaan wujudnya konspirasi susulan pertemuannya dengan Hadi dan menyifatkannya sebagai pertemuan biasa.

“Mereka (PAS) mahu bertemu saya untuk menyuarakan kebimbangan mereka.

“Saya meminta mereka menyokong kami di Parlimen jika melakukan perkara yang betul walaupun mereka pembangkang, dan jangan menyokong kami jika melakukan perkara salah

“Apa yang kami lakukan demi kebaikan negara,” katanya.

Pertemuan awal minggu ini mencetuskan spekulasi tentang kemungkinan wujudnya kerjasama baharu antara Bersatu dan PAS.

Tinggalkan komen anda