Anggota bomba kecam PM Australia lambat hantar bantuan


shadow

ANGGOTA bomba Australia termasuk kalangan pegawai mengecam cara Perdana Menteri Scott Morrison mengendalikan krisis kebakaran hutan yang melanda negara itu.

Paul Parker, 57, antara anggota bomba yang mengkritik Morisson, berkata beliau berasa terkejut dengan cara kerajaan terutamanya perdana menteri menangani isu tersebut.

Parker menyelar dakwaan Morrison kononnya ribuan sukarelawan bomba yang kepenatan mahu terus berada di lokasi kebakaran.

“Anda seorang yang bodoh. Jika anda pernah berada di lapangan untuk melihat apa yang kami lalui, anda pasti terkejut. Kerajaan akan terkejut.”

Katanya anggota bomba bergadai nyawa untuk memadamkan kebakaran itu dan Morrison bertindak lambat untuk menghantar anggota tambahan bagi membantu mereka.

Setakat ini, tiga anggota bomba terkorban untuk memadamkan kebakaran yang bermula sejak September lalu.

“Ini cara kami menikmatinya dengan bergadai nyawa. Saya melakukannya demi masyarakat setempat, demi pekan Nelligen dan demi rakyat Australia.

“Itu yang saya sanggup lakukan. Saya bukan buat untuk anda Scott Morrison. Saya tidak lakukannya untuk kerajaan.”

Ketua Bomba New South Wales juga tidak ketinggalan mengkritik Morrison.

Komisioner Shane Fitzsimmons berkata beliau kecewa apabila mendapat tahu keputusan Morrison memanggil 3,000 askar simpanan untuk membantu pasukannya baru-baru ini.

Katanya tindakan Morisson agak terlambat dan menunjukkan perdana menteri itu tidak bersikap profesional ketika berdepan hari yang sukar.

Awal minggu ini, seorang anggota bomba enggan berjabat tangan dengan Morrison ketika dihampir perdana menteri itu. – AFP

Tinggalkan komen anda