Adun Bersatu, pegawai menteri ditahan dalam parti dadah


shadow

SEORANG Adun Bersatu antara 17 individu yang ditahan dalam satu parti dadah di sebuah apartmen di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut polis, Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah ditahan dalam serbuan jam 11 malam di apartment tersebut.

Turut ditahan adalah beberapa orang pegawai khas menteri dan ahli perniagaan.

Sumber berkata, serbuan itu pada mulanya dijalankan polis selepas menerima aduan mengenai bunyi bising dalam unit apartmen itu.

Bagaimanapun, sebaik pemeriksaan dijalankan, mereka menemui 17 orang termasuk enam wanita sedang berhibur.

“17 individu ditahan termasuk Adun Dengkil berusia 39 tahun, pegawai khas kepada dua menteri, beberapa usahawan dan enam wanita.

“Selepas menjalani ujian air kencing, 16 daripada mereka didapati positif dadah termasuk Adun itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber polis, kesemuanya kini ditahan reman selama tiga hari.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dijangka membuat sidang media pada jam 3 petang hari ini.

Adun tersebut bagaiamanapun menafikan dakwaan bahawa beliau ditangkap dan positif dadah.

Adif Syan dilaporkan memberitahu Malaysiakini, beliau berada di rumahnya di Pulau Meranti, Puchong, sejak malam semalam.

Pengerusi Bersatu Selangor itu juga mendakwa beliau bertemu anggota parti di Dengkil, Selangor dan seterusnya pulang ke rumah.

Tinggalkan komen anda