PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bercakap tentang manfaat koperasi yang boleh membantu rakyat mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup.
Menerusi catatan di blognya, Dr Mahathir menulis tentang kedai milik koperasi kampung yang ditemuinya di Okinawa, Jepun dan tertanya-tanya sama ada model sama boleh dilaksanakan di Malaysia.
“Setiap kampung mempunyai kedai kampung milik bersama. Ia sejenis koperasi, dimiliki dan diuruskan oleh penduduk kampung.
“Sekarang kebanyakannya sudah ditutup kerana akses kepada keperluan mereka bertambah mudah disebabkan (kewujudan) jalan raya, motosikal dan kereta. Kedai yang saya lawat antara yang masih wujud.
“Ia berfungsi dengan baik di Okinawa. Saya tertanya-tanya jika ia boleh dilaksanakan dengan baik di Malaysia,” tulisnya.
Dr Mahathir sudah lama meluahkan hasrat melaksanakan konsep koperasi seperti itu di Malaysia.
September lepas, beliau mendedahkan kejayaan koperasi di Jepun, berkata yang pergerakan koperasi boleh memainkan peranan besar dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah (B40) di kawasan bandar dan pedalaman berdepan isu peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata sumbangan koperasi bukanlah semata-mata mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi perlu juga dilihat dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama.
“Dalam konteks berkoperasi, kuasa yang ada di tangan kita adalah dalam menentukan harga patut dengan kualiti dan jaminan penggunaan,” katanya
Dr Mahathir berkata Japanese Consumer Co-operative Union (JCCU) merupakan gabungan 320 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 29 juta orang.
Katanya lagi, mereka bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.
Dalam catatan kembaranya di Okinawa melawat koperasi, katanya pada masa dahulu, penduduk kawasan itu sukar mendapatkan bekalan barangan kerana kedudukan wilayahnya.
Disebabkan itu, mereka memutuskan membuka sebuah kedai yang diisi barangan keperluan dengan mengutip wang daripada penduduk.
“Mereka mengupah seorang pekerja kampung itu untuk menguruskan kedai itu. Wang disediakan penduduk digunakan untuk menyimpan stok dalam kedai dengan barangan dibeli dari kawasan utara (Jepun).
“Penduduk membeli barangan keperluan mereka tetapi tidak membayarnya serta merta. Sebaliknya, mereka menulis nama mereka di kertas dan barangan yang diambil. Setiap kali mereka perlukan barangan atau makanan mereka tulis di kertas itu dengan nama mereka dan lekatkan di papan tanda disimpan dalam kedai.
“Pada hujung bulan mereka akan jumlahkan pembelian mereka dan bayar jumlah yang diambil. Wang itu kemudian disimpan dalam peti simpanan,” tulisnya.
Tinggalkan komen anda