5G tingkatkan pemantauan keselamatan


shadow

LANGKAWI: Teknologi generasi kelima (5G) yang bakal diperkenalkan di negara ini membolehkan pemantauan keselamatan di lokasi umum dipertingkatkan dengan penempatan kamera pemantau berteknologi tinggi yang berupaya merakam pada masa nyata (real-time).

Teknologi berkenaan kini sedang diuji oleh syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Bhd, yang meletakkan empat kamera mempunyai ciri kecerdasan buatan (AI) dan fungsi analisis video, di kawasan tumpuan di pulau peranginan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata kamera yang berupaya merakam pemandangan 360 darjah menerusi resolusi 4K (kualiti paparan 4000 piksel) dipasang di Jalan Pantai Cenang dan Dataran Cenang sebagai sebahagian projek demonstrasi 5G yang sedang dijalankan.

“Sistem ini dinamakan ‘5G Safety and Security Smart City solution’ membolehkan pemantauan dibuat pihak berkuasa secara langsung dari jarak jauh.

“Teknologi ini sesuai digunakan bagi membantu pihak berkuasa seperti polis dan kastam menjalankan pemantauan dengan lebih berkesan dan tindakan boleh diambil dengan lebih pantas dalam mengatasi kes jenayah dan sebagainya,” katanya.

Celcom adalah antara syarikat telekomunikasi yang menjalankan projek demonstrasi teknologi 5G di pulau peranginan terkenal ini.

Idham berkata, demonstrasi pemasangan kamera definisi tinggi yang dipancar tanpa wayar atau wayarles itu juga mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

“Apabila tahap keselamatan di kawasan pelancongan ditingkatkan menggunakan teknologi ini, secara tidak langsung ia akan meningkatkan keyakinan pelancong untuk berkunjung,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Idham berkata, sistem pemantauan itu memberi manfaat kepada promosi pelancongan apabila ia boleh memberi gambaran langsung tentang suasana kawasan tarikan dari jarak jauh menerusi siaran resolusi 4K.

“Terdapat dua skrin yang kita pasang di ‘booth’ Celcom di Lapangan Terbang Langkawi ini…sebaik saja pelancong sampai, mereka boleh lihat bagaimana keadaan Pantai Chenang secara langsung walaupun belum tiba ke sana (Pantai Chenang),” katanya.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan saja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai satu daripada perintis 5G di rantau ASEAN.

Teknologi berkenaan sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, malam ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda