TIGA individu disahkan dijangkiti koronavirus di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, tiga warga China itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil.
Menurutnya, individu berkenaan merupakan seorang wanita berusia 65 tahun dan dua cucu lelakinya masing-masing berusia 11 tahun dan 2 tahun.
Wanita itu merupakan isteri kepada lelaki 66 tahun dan Wuhan, China yang didapati positif koronavirus dan kini ditahan Singapura.
Wanita dan dua cucunya itu pada awalnya menaiki penerbangan dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari dan seterusnya memasuki negara melalui Johor Bahru, katanya dalam sidang media pagi ini.
Beliau berkata, ketiga-tiganya membuat perjalanan masuk ke Malaysia bersama lima individu lain, yang turut disaring dan dikuarantin.
Kes jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV) yang berpunca dari bandar Wuhan, di China itu setakat ini mengorbankan 41 nyawa termasuk petugas kesihatan.
Virus itu menjangkiti 1,300 orang di China setakat ini dan turut disahkan merebak ke Amerika Syarikat, Perancis dan Australia.
Tinggalkan komen anda