SEORANG mekanik dan penjual aksesori kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas empat pertuduhan antaranya menyerang anggota polis dan mendatangkan kecederaan terhadap pemandu bas, Jumaat lepas.
Tertuduh Lim Kia Pin, 39, dan Lai Kok Kong, 32, memohon dibicarakan apabila semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Mengikut pertuduhan pertama, Lim dan Lai dituduh bertindak agresif dan berkelakuan tidak senonoh ketika mereka ditahan di lokap Balai Polis Gelang Patah, pada 4.35 petang, 24 Januari lepas.
Pertuduhan kedua pula menyaksikan Lim dan Lai didakwa menyerang seorang anggota polis daripada menjalankan tugasnya. Kesalahan itu dilakukan mereka di balai sama pada 5.51 petang.
Pertuduhan ketiga membabitkan Lim dan Lai didakwa melakukan khianat dengan merosakkan barangan yang terdapat dalam sebuah bas iaitu kamera perakam perjalanan dan cermin bas di Kilometer 29, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah pada 1.45 tengah hari, 24 Januari.
Bagi pertuduhan keempat, Lai dituduh mendatangkan kecederaan terhadap pemandu bas pelancong Nur Hafiz Nor Azmi, 32, dengan menggunakan mesin gerudi tangan, botol minuman dan tin penyembur serangga sementara Lim pula dituduh mendatangkan kecederaan terhadap individu sama menggunakan anggota badan pada masa, hari dan tempat yang sama.
Rashidah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan di bawah Akta Polis 1967 (bagi pertuduhan bertindak agresif dan berkelakuan tidak senonoh); RM3,500 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) (mendatangkan kecederaan); RM4,000 pertuduhan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 324 KK (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 427 KK (melakukan khianat).
Majistret juga menetapkan 13 Februari ini tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan turut mengenakan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh dilarang untuk mengganggu mangsa (pemandu bas tersebut) sepanjang tempoh perbicaraan.
Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhayati Muhammad Fathullah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad.
Pada Jumaat lepas, kedua-duanya ditahan polis selepas video mereka menyerang seorang pemandu bas pelancong menjadi tular di laman sosial.
Tinggalkan komen anda