15 juta rakyat Malaysia terima RM30 mulai 15 Januari – Lim Guan Eng


shadow

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima RM30 melalui program e-Tunai Rakyat yang dilancarkan mulai 15 Januari (Rabu) ini.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan memperuntukkan RM450 juta dengan kerjasama tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go eWallet yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.

“Pengendali e-dompet juga akan menambahbaik pemberian RM30 wang percuma yang dibiayai oleh kerajaan dengan memberikan insentif tersendiri bermakna rakyat Malaysia yang layak akan menerima lebih daripada RM30 wang percuma melalui inisiatif ini.

Program e-Tunai Rakyat ini adalah sebahagian daripada langkah Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019. Semua penerima boleh memilih salah satu daripada tiga pengendali e-dompet untuk menerima wang percuma RM30 daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.


Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, RM30 tersebut boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang terdapat melalui platform pengendali yang dipilih dan dua Inisiatif e-Tunai Rakyat ini dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya di sektor runcit.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan menggalakkan semua peniaga untuk berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet yang terlibat supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif e-Tunai Rakyat yang bernilai RM450 juta sebelum 14 Mac 2020 berakhir.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi memenuhi agenda Kemakmuran Bersama dengan mengurangkan halangan ke arah digitalisasi dan meningkatkan keterangkuman kewangan.

“Bagi memastikan supaya inisiatif ini akan mempercepatkan proses digitalisasi, wang RM30 tersebut perlu dibelanjakan oleh penerima bermula pada 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020 dan baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac 2020,” jelas beliau lagi.

Guan Eng berkata, Khazanah Nasional Berhad merupakan pelaksana program e-Tunai Rakyat ini.
“Ketiga-tiga pengendali e-dompet telah dipilih berdasarkan kepada kemampuan mereka untuk memastikan supaya inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan selewat-lewat pada bulan Januari 2020,” katanya.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda