Yusoff beritahu keluarga mengenai serangan seksual, kata bapa


shadow

BAPA Muhammed Yusoff Rawther hari ini menjelaskan yang keluarganya maklum mengenai kejadian salah laku seksual terhadap anaknya oleh Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, Muhammed Ali Mohd Idris menafikan kenyataan terdahulu yang dibuat oleh pakciknya, Mohideen Abdul Kader yang semalam berkata tiada ahli keluarga diberitahu mengenai kejadian yang didakwa berlaku setahun lalu.

“Ini adalah satu kenyataan yang dikeluarkan oleh saya, bapa kepada Muhammed Yusoff Rawther, sebagai ketua keluarga kami, susulan kenyataan dibuat oleh Mohideen Abdul Kader pada 4 dan 5 Disember 2019.

“Encik Mohideen hanyalah abang kepada arwah bapa saya, tidak mewakili pandangan keluarga kami, dan tidak juga bercakap bercakap bagi pihak keluarga kami.

“Keluarga saya ingin menolak kenyataan dibuat oleh Encik Mohideen. Saya ingin menyatakan dan menjelaskan bahawa sebenarnya keluarga kami dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku sama ada pada hari kejadian atau berdekatan, oleh anak saya sendiri,” kata bapa.

Ali berkata Mohideen memilih untuk tidak mendapatkan pengesahan mengenai apa yang sebenarnya berlaku, sebelum mengeluarkan kenyataan terhadap Yusoff.

“Saya sangat kecewa kerana Encik Mohideen memilih untuk tidak berkomunikasi dengan kami atau meminta pengesahan daripada saya atau keluarga tentang apa yang sebenarnya berlaku, sebelum mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap anak saya.

“Saya berharap beliau akan berfikir, berfikir semula, dan mendapatkan kebenaran dan fakta sebelum bertindak melulu.” 

Tinggalkan komen anda