Wang gaji pekerja RM40,000 dilarikan penyamun


shadow

NIAT seorang kontraktor untuk membayar gaji pekerjanya dengan wang berjumlah RM40,000 yang dikeluarkan daripada bank tidak kesampaian apabila disamun dua lelaki tidak dikenali dalam kejadian berhampiran bank itu di Taman Nusantara, Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika mangsa yang berusia 32 tahun baru selesai membuat pengeluaran wang, dan ingin menuju ke keretanya yang diparkir di tepi jalan, didatangi sebuah motosikal dinaiki dua suspek.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata seorang daripada suspek turun dari motosikal berkenaan dan menahan mangsa daripada memasuki kenderaannya dan seorang lagi suspek mengeluarkan objek menyerupai pisau dan mengacukan ke arah mangsa, sebelum mengarahkan mengeluarkan semua wang dan barang yang berada di dalam beg sandangnya.

“Akibat ketakutan, mangsa mengeluarkan semua barang yang berada di dalam beg itu dan suspek kemudiannya terus merampas beg sandang terbabit serta menarik rantai emas dipakai oleh mangsa sebelum melarikan diri,” kata beliau dalam kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Dzulkhairi berkata selain kerugian wang, mangsa juga kehilangan beberapa barangan seperti beg duit, kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan kad kredit akibat kejadian itu.

Beliau berkata usaha mengesan dan menangkap suspek terlibat sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata tajam.

Tinggalkan komen anda