Tun Dr Mahathir lantang kritik AS di Forum Doha


shadow

QATAR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan Amerika Syarikat (AS) menyekat Iran yang didakwanya melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Berucap dalam Forum Doha di Qatar, Dr Mahathir menegaskan, tindakan itu bukan hanya memberi kesan kepada satu negara tetapi Malaysia dan beberapa negara lain yang mempunyai hubungan dengan Iran turut menerima kesannya.

“Kami (Malaysia) ingin berkawan dengan semua negara dan tidak mahu ada musuh. Negara kami kecil dengan populasi yang rendah untuk kami sediakan pasaran yang bagus, jadi kami perlukan pasaran dunia.

“Tetapi pada masa sama, PBB tidak benarkan mana-mana negara kuasa besar untuk mengenakan sekatan terhadap negara unilateral lain. Ini menyebabkan masalah wujud, Malaysia dengan beberapa negara lain  kehilangan pasaran yang besar atas tindakan ini.” tegasnya ketika berucap pada Forum Doha di Qatar pada Sabtu.Menurut Dr Mahathir, Malaysia tidak menyokong tindakan yang disifatkan mencabul undang-undang antarabangsa dan PBB.

Kata Perdana Menteri, hanya PBB berhak membuat sekatan seumpama itu.

Sebaliknya, tindakan AS, tegas Dr Mahathir, menyekat atas sebab perbezaan ideologi tidak boleh diterima sama sekali.

Justeru, perkara itu, kata beliau, akan dibawa dalam Mesyuarat Agung PBB.

Terdahulu, Dr Mahathir menerima Anugerah Forum Doha yang disampaikan oleh Emir Qatar, Tamim Hamad Al-Thani.

Anugerah Forum Doha merupakan pengiktirafan besar terhadap kepimpinan dan inisiatif Dr Mahathir Mohamad dalam membangunkan Malaysia di peringkat antarabangsa.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda