‘Treadmill’ asalnya alat seksa banduan, kini jadi peralatan sukan


shadow

Treadmill merupakan alatan sukan yang “wajib ada” di mana-mana gim yang anda pergi.

Ini kerana alatan tersebut antara kegemaran ramai yang digunakan untuk membakar lemak dan mengurangkan berat badan.

Namun anda mungkin tidak pernah tahu yang alatan itu juga sebenarnya digunakan untuk menyeksa banduan suatu ketika dulu sehingga mereka tidak diberi makan dan mengerah tenaga sehabisnya untuk menaiki anak tangga setinggi 2,200 meter.

Asalnya, treadmill pertama kali dicipta pada 200 tahun yang lalu.

Pada tahun 1818, seorang jurutera berbangsa British yang bernama Sir William Cubitt telah mencipta sebuah alat yang bergelar “thread-wheel” untuk digunakan sebagai alat menghukum banduan yang degil pada waktu itu.

Banduan akan dikerah untuk memanjat 24 anak tangga dan menggerakkan gear serta mengepam air untuk melumatkan biji gandum.

Daripada konsep inilah treadmill mendapat nama, “tread” bermaksud permukaan atas bagi anak tangga manakala “mill” iaitu kata kerja bagi perbuatan melumatkan gandum di kilang.

Banduan-banduan ini akan “disiksa” sekurang-kurangnya 8 jam setiap hari dan dikerah memanjat anak-anak tangga ini.

Hukuman ini sangat kejam kerana banduan pada ketika itu tidak diberi makan dengan sempurna setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Meskipun ia menyebabkan ramai banduan sakit dan cedera, pihak berkuasa masih tetap meneruskan hukuman ini di Britain dan Amerika Syarikat.

Pada 1824, pengawal penjara yang bernama James Hardie memuji mesin ini kerana telah berjaya menginsafkan penjenayah dan banduan di New York, Amerika Syarikat.

Katanya lagi, mesin ini sangat berkesan namun tidak begitu kejam untuk menimbulkan rasa gerun kepada para banduan.

Setelah beberapa lama, pihak warden penjara Amerika akhirnya berhenti menggunakan treadmill dan menggantikan hukuman berbentuk kerja buruh, seperti memetik kapas, memecahkan batu dan sebagainya.

Penjara di England masih kekal menggunakan hukuman ini sehingga akhir kurun ke-19 dan akhirnya pihak berkuasa di England menganggap hukuman ini terlalu tidak berperikemanusiaan.

Mesin tersebut kemudiannya dibiar begitu sahaja sehinggalah pada tahun 1960-an, Dr Kennetch Cooper, iaitu “bapa konsep senaman aerobik” membuat pertunjukkan tentang kebaikan senaman aerobik.

Sejak hari itu, treadmill kembali popular dalam masyarakat dunia sebagai alat senaman dan bukan lagi alat hukuman.

Tinggalkan komen anda