Tiada jaminan Malaysia tak dikenakan sekatan macam Qatar, Iran


shadow

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran, Malaysia dan negara lain tidak terkecuali daripada sekatan dan perintah larangan seperti dikenakan ke atas Iran dan Qatar.

“Sekatan dan perintah larangan sepertinya bukan semata-mata kepada Iran dan Qatar.

“Dengan dunia menyaksikan keputusan sepihak untuk mengenakan tindakan menghukum, Malaysia dan negara-negara lain harus selalu ingat bahawa ia boleh dikenakan ke atas mana-mana antara kita.

“Justeru ada lebih banyak alasan untuk kita berdikari dan bekerja dengan negara-negara Islam lain untuk memastikan bahawa jika – dan apabila – langkah-langkah itu dikenakan kepada kita, kita mampu menghadapinya,” kata Mahathir semasa ucapan penutup di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi tadi.

Sambil memuji Iran dan Qatar mengatasi cabaran yang disebabkan oleh sekatan ke atas mereka, Dr Mahathir berkata negara-negara lain juga harus sedar bahawa mereka boleh menjadi mangsa.

“Adalah penting bagi saya untuk menunjukkan bahawa Iran khususnya, walaupun bertahun-tahun dikenakan sekatan, telah dapat terus maju dan berkembang dan dengan membanggakan sebagai sebuah negara dengan bilangan jurutera keempat tertinggi di dunia.

“Qatar juga telah dikenakan perintah larangan dan seperti Iran, ia berjaya bangkit dan berkembang dengan hebat,” katanya.

Iran menghadapi sekatan diketuai Rumah Putih yang juga sekutu rapat Arab Saudi. Riyadh dan Teheran merupakan dua negara yang berseteru sejak sekian lama.

Elak ada gangguan

Maklumat diplomatik Arab Saudi yang dibocorkan pada 2008 menunjukkan negara timur tengah itu cuba memujuk kuasa barat agar melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Iran, dengan memberitahu Washington agar mereka bertindakn untuk “memotong kepala ular”.

Arab Saudi juga mengetuai lebih 10 negara Islam lain mengenakan sekatan ke atas Qatar yang didakwa Riyadh membiayai pengganas, dipercayai merujuk kepada pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Sebagai tindak balas, Turki dan Iran telah menghulurkan bantuan kepada Qatar.

Turki juga menjadi satu daripada anggota peserta Sidang Kemuncak Kuala Lumpur kali ini.

Arab Saudi – yang tidak menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur – sebelum ini menyatakan kebimbangan bahawa perhimpunan itu bertujuan untuk mewujudkan kumpulan yang bersaing dengan organisasi diketuai mereka, iaitu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kebangkitan Arab Saudi sejak kebelakangan membentuk pakatan dengan negara sekutu dan berusaha mendapatkan kerjasama melaksanakan dasar luar Riyadh, termasuk membabitkan mereka dalam perang di Yaman.

Dr Mahathir berkata bahawa sidang kemuncak itu mahu mengekalkan kumpulan permulaan kecil untuk memastikan perbincangan yang lebih berfokus.

“Semasa perbincangan dengan pemimpin-pemimpin dari Turki, Iran dan Qatar, kami berkongsi sentimen bahawa untuk usaha-usaha ini berjalan lancar, kita perlu memastikan kumpulan permulaan yang kecil supaya kita dapat meneruskannya dengan segera tanpa perlu terganggu dengan lebih banyak pendapat dan syarat,” katanya.

Beliau menambah bahawa perbincangan itu memberi tumpuan kepada beberapa perkara, iaitu pembangunan dan kedaulatan, integriti dan tadbir urus yang baik, budaya dan identiti, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan, teknologi, dan tadbir urus dalaman.

“Para pemimpin yang lain dan saya telah menjelaskan panjang lebar tentang betapa menyedihkan keadaan dunia Islam hari ini. Ia menunjukkan bahawa kita adalah 1.8 bilion yang kuat, yang bermaksud bahawa umat Islam membentuk hampir satu per empat dari jumlah penduduk manusia, namun kita kurang perwakilan dalam semua bidang di platform global.

“Terdapat juga keprihatinan bahawa umat Islam di negara bukan Islam terpaksa berhadap asimilasi. Kami menyokong integrasi tetapi asimilasi sehingga menumpahkan agama kita tidak dapat diterima.

“Ia menunjukkan bahawa jika negara-negara Islam bebas dan mampu berdiri di atas kaki mereka sendiri, kita tidak akan menerima layanan sedemikian.

“Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin dari empat negara itu terutamanya dipikat oleh hubungan persaudaraan dan persahabatan yang telah diperkuat walaupun kerumitan di rantau ini.

“Ini, kepada kami, adalah inti yang akan memastikan asas yang kami mahu bina akan berjaya,” katanya.

Tinggalkan komen anda