Tapak sampah haram mengandungi bahan kimia dikesan di Mantin


shadow

KEGIATAN pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah termasuk bahan yang mengandungi kimia di sebuah kawasan berhampiran sungai di Kampung Abdullah Mantin, dekat Seremban, akhirnya dikesan pihak berkuasa. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata kegiatan itu yang dipercayai dilakukan sejak awal tahun ini boleh menyebabkan pencemaran terhadap alam sekitar selain mampu menjejas kesihatan penduduk sekitar terutama di kampung berkenaan.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan laluan yang tersembunyi dikelilingi semak samun dengan jarak kira-kira 800 meter dari jalan besar ke lokasi pembuangan itu untuk berselindung melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati longgokan sampah mengandungi kayu, plastik, kertas, sisa binaan, getah dan pelbagai lagi dibuang di situ. Mereka didapati membuang sampah berkenaan berhampiran sungai yang boleh menyebabkan pencemaran sumber air berkenaan.

“Sampah yang mengandungi bahan kimia akan bercampur dengan air sekali gus boleh berlaku pencemaran, malah banyak kayu yang mudah terbakar turut dibuang di sini, kami juga berjaya menahan sebuah lori yang membawa sampah dan sisa pepejal di lokasi pembuangan sampah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan tapak berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri S. Sivanathiran.

Veerapan juga berkata hasil siasatan awal mendapati terdapat aktiviti mengorek tanah di kawasan berhampiran sebagai tempat menanam sampah haram terbabit.

“Kami akan pastikan mereka yang melakukan kegiatan ini membersihkan semula kawasan kerana kami percaya tanah ini adalah milik kerajaan kerana ia berhampiran sungai,” katanya.

Katanya, beliau telah mengarahkan JAS negeri dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk melakukan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan lanjut termasuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Sementara itu, Sivanathiran berkata, pihaknya sudah mengambil beberapa sampel sampah dan cecair yang terdapat di tapak pembuangan sampah serta air sungai untuk dibawa ke makmal bagi tujuan analisis.

Katanya, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun ke atas mereka yang didapati bersalah melakukan pencemaran ini.

Tinggalkan komen anda