Tak perlu dabik dada laksana 60 peratus janji manifesto


shadow

Barisan menteri yang dilantik selepas PRU lalu tidak perlu terlalu banyak bercakap, sebaliknya melakukan tanggungjawab bagi memastikan rakyat dapat melihat bukti pencapaian mereka.

Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, menteri tidak perlu untuk mendabik dada walaupun benar sudah mampu melaksanakan lebih 60 peratus daripada janji-janji manifesto PRU lalu.

“Sama ada betul atau tidak (60 peratus pencapaian), ia adalah perkara subjektif. Rakyat hanya mahu kehidupan yang lebih baik daripada dahulu. Tapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memberitahu, sebanyak 60 peratus daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU lalu sudah ditunaikan.

Beliau juga berkata, rakyat ketika ini hanya perlu memberi masa kepada kerajaan PH bagi membetulkan masalah kewangan dan status ekonomi negara.

“Menteri jangan pandai bercakap sahaja sedangkan semua pihak tahu dan nampak kehidupan rakyat semakin teruk. Kenyataan itu akan menimbulkan ‘gelak besar’ kepada rakyat dan kebencian yang lebih mendalam selepas ini.

“Cara terbaik ialah selesaikan masalah ekonomi dan sara hidup rakyat serta kurangkan perbalahan sesama sendiri supaya pelabur luar negara dan rakyat yakin dengan mereka.

“Kalau janji itu sudah dibuat lebih 60 peratus, maka mereka sebarkan pada semua lapisan rakyat melalui media massa yang ada. Tapi rakyat lihat sebaliknya,” katanya.

Semalam, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pada ketika ini, rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan PH bagi membetulkan masalah kewangan dan status ekonomi negara.

Tinggalkan komen anda