Tak payah kalau tak mahu datang, kata Wan Azizah


shadow

TIDAK payah datang ke Kongres PKR kalau tidak mahu, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjawab permintaan Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham yang mahu pimpinan parti memberi jaminan keselamatan pada persidangan esok.

Hilman dan pengikutnya sebelum itu tidak menghadiri sesi pada sebelah petang Kongres Pemuda PKR selepas kekecohan dan tumbuk-menumbuk yang berlaku pada sebelah pagi.

“Nak buat macam mana… nak datang, datanglah. Mereka perwakilan, mereka dialu-alukan,” katanya pada sidang media selepas menutup kongres Pemuda dan Wanita PKR di Ayer Keroh, Melaka.

Hilman, yang juga setiausaha politik kepada timbalan presiden Mohamed Azmin Ali di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebelum itu turut menggesa Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya membatalkan kongres Pemuda PKR hari ini.

Kongres Pemuda PKR hari ini bermula dengan kekecohan di luar dewan persidangan apabila sebahagian perwakilan disekat daripada memasuki tempat mesyuarat berlangsung.

Insiden tolak menolak berlaku dan jerit menjerit kedengaran, yang kemudiannya berlarutan kepada aksi tumbuk menumbuk.

Perwakilan yang dihalang masuk turut mempersoalkan kehadiran sekumpulan yang didakwa bukan ahli yang berbaju T hitam yang dimaklumkan kononnya sebagai pemerhati.

Antara yang ditahan oleh petugas keselamatan ialah bekas pengerusi tetap AMK Muhammad Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya Mohd Ramly Ahmad yang dipecat minggu lepas.

Menurut Dr Wan Azizah, RoS sudah memaklumkan parti bahawa pemecatan itu sah.

“Kita sudah dapat jawapan daripada ROS. Kita (buat) menepati apa yang ROS katakan iaitu mereka gugur daripada memegang jawatan.

“Jadi tidak ada apa-apa isu.

“Presiden (Anwar Ibrahim) sudah katakan kita (parti) akan tegas, supaya ini tidak akan menjadi budaya,” katanya, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Ditanya kenapa perdamaian antara Anwar dan Azmin tidak ternampak di peringkat akar umbi, Dr Wan Azizah berkata ada pihak yang membuat provokasi.

“Biarlah pihak berkuasa siasat,” katanya, merujuk kepada laporan polis yang dibuat berhubung pergaduhan pagi tadi.

Menjawab pertanyaan apakah kekecohan hari ini berpunca daripada pemilihan parti yang pecah belah setahun yang lalu, beliau berkata: “PKR sebuah parti yang dinamik. PKR akan jadi membosankan kalau ia parti yang mati.”

Dr Wan Azizah sebelum itu dalam ucapan penutupnya mengingatkan betapa PKR sudah mencapai banyak kejayaan sejak bermula dengan Deklarasi Permatang Pauh pada 1999.

“Sejarah kita tidak pernah aman, selalu ada pertembungan antara pemimpin sejak penubuhannya.

“Sejak pemilihan pertama parti di Kemaman pada 2000 sampailah yang terakhir tahun lalu, selalu ada pertembungan.”

Katanya, pertembungan itu menjadikan parti matang dan kekal relevan dalam landskap politik Malaysia.

“Tetapi kita tidak boleh terus bergaduh,” katanya, yang memimpin parti selama 19 tahun sebelum letak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar tahun lalu. 

Tinggalkan komen anda