Sultan Selangor bertitah jangan agungkan pemimpin komunis


shadow

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar tiada rakyat negeri itu yang keliru dengan fakta sejarah hingga mengagung-agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya.

Sultan Sharafuddin bertitah, sementara PKM turut dikatakan menentang penjajah, namun ideologi parti itu tidak berlandaskan konsep negara Malaysia merdeka yang berteraskan demokrasi dan raja berperlembagaan.

“Fakta perjuangan ideologi PKM ini merupakan fakta sejarah yang perlu rakyat generasi sekarang memahaminya dengan mendalam agar kita tidak terpesong dengan fakta yang mengelirukan tentang perjuangan mereka.

“Beta berharap janganlah hendaknya ada rakyat beta yang masih terkeliru…Sehingga mengangung-agungkan pemimpin mereka,” titah Sultan Sharafuddin sempena ulang tahun ke-73 hari keputeraannya, hari ini.

Titah itu di tengah-tengah isu komunis kembali diperkatakan setelah abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa pulang pada September lalu, mencetuskan bantahan sejumlah pihak.

Selain itu, dua acara mengenang ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai 1989 turut diadakan di Kajang, Selangor dan Hat Yai, Thailand turut diadakan.

Polis telah memulakan siasatan terhadap kedua-dua acara itu dan telah mengambil keterangan beberapa individu.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan berkenaan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang berdepan ancaman PKM pada dekad-dekad lalu.

“Begitu ramai pasukan keselamatan kita yang telah terkorban dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara daripada anasir komunis ini.

“Di samping itu, ramai rakyat yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kamu lain juga terkorban. Kehidupan rakyat ketika itu sentiasa dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota PKM,” titanya lagi.

Tinggalkan komen anda