SPRM Labuan hantar laporan dakwaan konspirasi dalam tender pelabuhan


shadow

LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menghantar laporan berhubung dakwaan konspirasi dalam proses tender Pelabuhan Labuan kepada ibu pejabatnya untuk tindakan lanjut.

Pengarahnya, Mohd Yusizzudin Mohd Yusof berkata laporan itu dihantar tidak lama selepas pengendali pelabuhan, Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) membuat laporan pada 17 Dis lalu mengenai dakwaan konspirasi dalam proses tender.

“Oleh kerana ia melibatkan isu besar, kita perlu mendapatkan nasihat dan arahan lanjut dari ibu pejabat kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pengurus Besar LLPM, Abd Ghani Paijan berkata, pihaknya merasakan proses tender itu mungkin dilaksanakan secara tidak telus, jadi mereka mahu mendapatkan bantuan SPRM untuk membetulkannya.

“Itu sebabnya saya bercakap dengan pengarah SPRM Labuan berhubung status laporan kami.”

LLPM turut membuat satu laporan berhubung keputusan tender pelabuhan yang “bocor” kerana keputusan belum diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).

Pengerusi Eksekutif LLPM, Mohd Alias Abd Rahman berkata, keputusan tender yang bocor itu tersebar susulan laporan sebuah akhbar tempatan pada 14 Dis lalu dan menimbulkan kekeliruan serta panik yang kepada pihak pengurusan, petugas, pelanggan dan pengguna pelabuhan.

“Kami juga merasakan diberi layanan tidak adil dalam proses tender…setelah menjadi operator pelabuhan sejak 1998, kami melabur jutaan ringgit tanpa geran kerajaan dan kini selepas LPA (badan penyelaras pelabuhan) ditubuhkan, kami seharusnya dibimbing dari segi operasi, bukannya dihukum menerusi proses tender.”

Pada 17 Dis lalu, LPA menerusi satu kenyataan menafikan keputusan sudah dibuat mengenai operator terbaru Labuan Liberty Wharf.

Tinggalkan komen anda