SPRM dan SSM perhebat usaha ketelusan pemilikan syarikat


shadow

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang memperhebatkan usaha menggalakkan lebih banyak syarikat mendedahkan pemunyaan benefisial operasi mereka bagi mengatasi rasuah dan pengubahan wang haram.

“Membongkar siapakah pemilik manfaat entiti ini sangat mustahak untuk mengenalpasti penjenayah dan individu korup yang terus mendapat manfaat daripada rancangan melindungi (identiti) ini,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya di Kuala Lumpur, hari ini.

Pemunyaan benefisial merujuk kepada individu yang mempunyai kawalan atau mendapat manfaat daripada syarikat atau tabung amanah dan pendapatan yang dijana, tetapi mereka tidak disenaraikan sebagai pemilik.

“Sejak dahulu lagi, kita sudah melihat pemilik sah disalah guna untuk manfaat kegiatan individu korup menerusi pengubahan wang haram dan pengelakan cukai,” kata Latheefa pada ucapannya di forum “Unmasking the Corrupt Through Beneficial Ownership Transparency” anjuran Transparency International Malaysia dengan sokongan US AID Programme.

“Ini terbongkar dengan pendedahan global seperti ‘Kertas Panama’ dan “Kertas Paradise” yang menunjukkan jumlah lapisan pemilikan syarikat pesisir yang tidak masuk akal, yang akhirnya sampai ke individu tertentu yang mendapat manfaat salah dan mengelak tindakan undang-undang.”

Latheefa berkata agensi penguatkuasan di Malaysia banyak menerima laporan tentang ahli politik tertentu yang berada di belakang syarikat besar dan mendapat manfaat daripada pelaburan asing yang menjalankan perniagaan di negara ini.

Beliau turut memberi peringatan yang sudah terdapat peruntukan tentang pemunyaan benefisial dalam Akta Syarikat 2016 (CA 2016).

“Tetapi, mungkin ia tidak mendalam. Bagaimanapun, cadangan Kerangka Pelaporan (BO) Pemunyaan Benifisial di Suruhanjaya Syarikat Malaysia akan mengukugkan peruntukan itu dan memerlukan syarikat untuk mendapatkan, melaporkan, mengesahkan dan mengemas kini maklumat BO dalam tempoh tertentu.”

Menurut kerangka itu, seseorang yang memegang saham atau kepentingan lebih 20% dan di mana seseorang mengawal entiti korporat atau beberapa entiti korporat memegang lebih daripada 20% saham atau kepentingan pemilikan, akan menunjukkan hubungan pemilikan tidak langsung.

Latheefa berkata menjadi tugas setiausaha syarikat untuk memastikan maklumat BO dilapor dengan rekod tepat dan terkini.

Tambahnya, SPRM juga mengakui keperluan memasukkan peruntukan dalam Akta SPRM juga, bagi membolehkan pendakwaan terhadap amalan yang membawa kepada korupsi itu terus berlaku.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan dan Perkhidmatan Perundangan SSM Norhaiza Jemon berkata beliau berharap kerangka itu dapat dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

Katanya, syarikat akan diberi masa enam bulan daripada tarikh pengumuman untuk mematuhinya dan selepas itu pendaftar akan menggunakan kuasa untuk memaksa syarikat berbuat demikian, kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan syarikat didenda sehingga RM50,000.

Turut bercakap pada forum itu ialah Emmanuel Ly-Batallam, perunding ekonomi di Kedutaan Perancis di Malaysia; Setiausaha Agung Transparency International Malaysia Raymond Ram dan Timbalan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Mohamad Faizal Sadri.

Antara yang hadir ialah Presiden Transparency International Malaysia Dr Muhammad Mohan dan wakil USAID Shane Perkinson serta Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel, yang menjadi moderator sesi soal jawab forum.

Tinggalkan komen anda