Sidang Kemuncak KL 2019 tak guna dana awam, kata setiausaha agung


shadow

Sidang Kemuncak Kuala Lumpu 2019 yang dianjurkan sebuah badan pemikir di bawah Jabatan Perdana Menteri, tidak menggunakan dana awam.

Perkara itu dimaklumkan setiausaha agung bersamanya, Samsudin Osman, ketika ditanya berkenaan perbelanjaan bagi acara empat hari – bermula 18 hingga 21 Disember – yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.

“Ia sumbangan dana dari pihak swasta, ia bukan (didanai) oleh kerajaan.

“Jika (dana) dari kerajaan, saya tak akan ada di sini. Saya bukan dalam kerajaan lagi,” katanya ketika sidang media selepas acara penutup sidang tersebut.

Samsudin berkhidmat sebagai ketua setiausahan negara pada Februari 2002 hingga September 2006.

Beliau bagaimanapun berkata belum dimaklumkan berkenaan jumlah perbelanjaan bagi penganjuran sidang tersebut.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dianjurkan oleh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), sebuah badan pemikir teknologi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Di laman webnya, MIGHT menyifatkan dirinya sebagai entiti yang “memainkan peranan utama dalam membangunkan teknologi tinggi bagi perniagaan di Malaysia menerusi peranannya sebagai plantform menggalakkan perniagaan dan pembinaan konsensus swasta-awam”.

Ia merupakan entiti korporat dan kontraknya tidak perlu melalui proses pemerolehan kerajaan.

Ini bermakna apa-apa tender atau kontrak berkaitan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur tidak dipaparkan di laman web E-Perolehan yang diselenggara Perbendaharaan.

Bertemakan “peranan pembangunan dalam mencapai kedaulatan kebangsaan”, sidang itu antara lain disertai Iran, Turki dan Qatar, dengan pemimpin utama ketiga-tiga negara hadir.

Wakil Presiden Indonesia Ma’ruf Amin yang dijadual datang membatalkannya atas sebab kesihatan, manakala Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menarik diri di saat akhir.

Sepanjang empat hari berlangsung, sejumlah 18 persetujuan ditandatangani termasuk penubuhan pusat kecemerlangan dan berkenaan pembangunan pertahanan.

Bagaimanapun ia tidak lepas daripada kritikan terutama daripada Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mendakwa ia sebagai satu usaha untuk mewujudkan platform untuk menyaingi dengan pertubuhan itu.

Setiausaha Agung OIC Yousef al-Othaimeen misalnya dilaporkan berkata penganjuran pertemuan atau sidang di luar rangka OIC akan memecah-belahkan dunia Islam.

Bagaimanapun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan penutupnya hari ini berkata, penganjuran sidang itu telah disalah fahami, “sama ada sengaja atau tidak”, dan kini jelas pandangan negatif berkenaannya adalah tidak betul dan tanpa justifikasi.

Tinggalkan komen anda