Semua syarikat dilantik Mitra layak, kata menteri


shadow

SEMUA syarikat yang dipertanggungjawab menyediakan latihan kemahiran dan padanan kerja kepada peserta membabitkan kumpulan B40 masyarakat India memenuhi kriteria yang dikehendaki Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy yakin syarikat yang dilantik itu dapat melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin bagi memenuhi matlamat yang ingin dicapai.

“Syarikat yang dilantik bukan sekadar sediakan kursus tetapi ada latihan tambahan berkonsep ‘hand-holding’. Selain latihan kemahiran, kursus bahasa Inggeris, personaliti, elaun kehadiran dan tempat tinggal disediakan.

“Itu menggambarkan kursus yang ditawarkan syarikat yang dikenalpasti Mitra adalah bagus berbanding syarikat lain. Namun berlaku salah faham sehingga laporan polis dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat berikutan dakwaan terhadap salahguna kuasa dalam pengurusan peruntukan Mitra.

Waytha menegaskan bahawa beliau menjalankan tugas secara telus bagi memperjuangkan nasib golongan B40 masyarakat India dan terbuka menerima segala teguran daripada rakyat.

“Sebagaimana saya nyatakan semasa saya ambil alih tugas, saya akan memaparkan secara jelas dan telus siapa penerima dana Mitra dan berapa banyak.

“Sekiranya rakyat berasa terdapat sebarang salah laku, mereka boleh buat laporan polis kerana ini adalah ‘part and parcel of democracy system’,” katanya.

Antara latihan yang diberikan kepada golongan itu adalah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan sokongan daripada beberapa syarikat antaranya Dell, IBM, Maxis, DXC Technology dan Huawei.

Menerusi Belanjawan 2020, peruntukan berjumlah RM100 juta diberikan kepada MITRA untuk program latihan bertujuan memperkasa pembangunan komuniti India.

Tinggalkan komen anda