Saya takut dengan keputusan sendiri, kata Dr Mahathir


shadow

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau takut dengan beberapa keputusan pentadbiran yang diambil oleh beliau ketika ditanya mengenai kerjaya politiknya di Forum Doha, Qatar hari ini.

Bercakap dalam satu temu bual di pentas selepas memberi ucapan di forum itu, pemimpin berusia 94 tahun itu, ditanya sama ada beliau pernah “mengambil risiko besar” ketika membuat keputusan apabila hati nuraninya sendiri tidak sepenuhnya bersetuju dengan keputusan tersebut.

“Kadang-kadang saya terkejut dengan keputusan saya sendiri tetapi anda perlu cuba sesuatu untuk selesaikan isu-isu yang tidak dapat diselesaikan melalui cara biasa,” jawab beliau.

Terdahulu, ketika ditanya mengenai cara beliau mengendalikan ringgit semasa Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998, Dr Mahathir juga mengatakan bahawa keputusannya untuk menaikkan ringgit adalah langkah yang tidak konvensional sedangkan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mempunyai langkah lain bagi menyelesaikan krisis itu.

Ditanya sama ada beliau berpandangan bahawa IMF terlalu rigid dalam pendekatannya, beliau berkata harapannya supaya dana itu kini dapat mempelajari bahawa penyelesaian tidak konvensional kadang-kadang diperlukan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Dr Mahathir kini menjadi perdana menteri buat kali kedua dan memimpin Pakatan Harapan, gabungan yang memenangi pilihan raya umum tahun lepas.

Beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri pertama kali dalam tempoh pentadbiran dari 1981 hingga 2003 ketika beliau memimpin Barisan Nasional, menjadikan beliau sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia.

Mahathir turut mengakui dalam temu bual itu, bahawa terdapat juga  keputusan yang beliau ambil pada akhirnya tidak menyelesaikan masalah, apabila ditanya sama ada dia menyesal dengan keputusan yang pernah diambilnya.

“Ada beberapa perkara … sepanjang perkhidmatan, saya buat keputusan yang saya fikir akan selesaikan masalah tetapi pada akhirnya ia tidak berkesan.”

Seperti yang telah dikatakan sebelum ini dalam temu bual yang lain, Dr Mahathir mengulangi bahawa penyesalan terbesar sepanjang perkhidmatan dengan kerajaan adalah tidak dapat mengubah “budaya” kumpulan etnik terbesar negara untuk memastikan semua kaum di Malaysia maju dan mencapai kekayaan secara saksama.

“Di negara kami, ada tiga kaum utama tetapi mereka tidak membangun sama rata untuk mencapai kekayaan. Saya fikir ini adalah masalah budaya, dan sistem nilai mereka.

“Jadi, saya cuba ubah sistem nilai kumpulan etnik yang jatuh jauh belakang, tetapi saya gagal dalam usaha itu,” katanya.

Dr Mahathir kini berada di Qatar untuk lawatan kerja, di mana selain menghadiri Forum Doha, beliau juga menerima ijazah kehormat dari Universiti Qatar.

Tinggalkan komen anda