Saya tak kisah Parlimen gantung saya, kata Tajuddin


shadow

AHLI Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berkata, beliau tidak peduli sama ada Parlimen mahu menggantung beliau atas kenyataannya berhubung abu suci di dahi Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer .

Tajuddin berkata beliau tidak peduli dengan tempoh panjang hukuman penggantungan.

“Saya tidak kisah, jika saya kena gantung 6 bulan, atau setahun, atau dua tahun, gantunglah,” kata Tajuddin kepada The Malaysian Insight hari ini.

 Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk merujuk ahli Parlimen Umno itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana mempermainkan abu suci atau vibhuthi yang dipakai oleh Rayer.

Usul itu dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.

“Pada hari Selasa, Datuk Seri Haji Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak telah membuat kenyataan yang menghina, serius dan dilihat sebagai memperolokkan kepercayaan agama Hindu,” kata Kula ketika membentangkan usul itu.

Tajuddin mencetuskan kerusuhan di parlimen minggu ini apabila beliau bertanya kepada Rayer sama ada abu di dahinya adalah abu pemimpin Parti Komunis Chin Peng.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusof mengarahkan penggantungan Tajuddin dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) selama dua hari selepas kedua-duanya enggan mematuhi arahan ketika berhujah berhubung kenyataan abu suci itu.

Tajuddin berkata beliau hanya bergurau dan isu itu hanya dihangatkan oleh Ahli Parlimen DAP di parlimen, untuk membuat keadaan menjadi lebih teruk.

“Saya telah meminta maaf, saya berseloroh bertanya soalan itu tetapi anda tahu DAP, mereka suka membesar-besarkan.

“Mereka (DAP) mempunyai banyak anggota di Parlimen sekarang, jadi mereka hanya boleh langgar apa sahaja yang mereka mahu,” katanya sambil keluar dari PWTC, hari ini.

Tinggalkan komen anda