Ringgit cecah paras tertinggi susulan perjanjian perdagangan US-China


shadow

KUALA LUMPUR: Ringgit hampir mencecah paras tertinggi dalam tempoh setahun berbanding dolar AS pada hari terakhir dagangan 2019, susulan dolar yang menyusut nilai selain kemajuan dalam rundingan perdagangan AS dan China.

Ringgit didagangkan pada 4.0980/1010 berbanding dolar AS daripada 4.1045/1085 pada penutupan semalam, nilai tertinggi sejak 30 Jan.

Ketua Strategi Pemasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes, berkata ringgit menjejaki yuan China yang kukuh, disokong oleh jangkaan perjanjian perdagangan fasa pertama AS-China akan ditandatangani awal tahun depan.

“Yuan adalah barometer paling penting dalam memahami pergerakan dolar AS secara lebih luas, di tengah-tengah pertikaian perdagangan US-China, manakala dolar dijangka didagangkan lebih rendah dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya kepada Bernama.Innes berkata peniaga, bagaimanapun, terus berhati-hati terhadap ringgit, di tengah-tengah persekitaran luaran yang agak lemah.

“Ringgit juga semakin mengekori prestasi tinggi mata wang lain,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0389/0430 dari 3.0424/0458 semalam namun menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.7665/7703 daripada 3.7608/7655.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3749/3793 daripada 5.3839/3908 dan tinggi berbanding euro kepada 4.5914/5956 daripada 4.5966/6019.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda