Ratusan pelajar cedera protes undang-undang kerakyatan baharu India


shadow

BANTAHAN terhadap Pindaan Rang Undang-Undang Kewarganegaraan (CAB) berasaskan agama di India semakin memuncak apabila polis New Delhi terpaksa menyekat perarakan ribuan pelajar ke Parlimen pada Jumaat.

Ramai pelajar universiti Jamia Millia Islamia (JMI) cedera selepas polis membelasah mereka dengan belantan dan melepaskan gas pemedih mata.

“Bantahan dianjurkan persatuan pensyarah universiti. Kami menyertainya dan ketika mahu ke parlimen bagi membantah undang-undang diskriminasi ini, polis membelasah pelajar.

“Pada satu ketika polis melepaskan gas pemedih mata setiap minit,” kata mahasiswa pasca siswazah, Hamid Khan.

Kira-kira 100 pelajar cedera dengan 15 daripada mereka parah dan sekurang-kurangnya 42 lagi ditahan polis New Delhi, kata Ketua Proktor Universiti itu Waseem Ahmad Khan kepada Bernama.

Pelajar meneruskan bantahan mereka sehingga malam tanpa menghiraukan kehadiran ramai polis yang mengawal ketat di sekitar kampus.

Beberapa cubaan mereka untuk berarak keluar kampus digagalkan polis.

Rang Undang-Undang itu bertujuan memberikan kewarganegaan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada penganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.

Ia diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dikenali sebagai Lok Sabha pada Isnin manakala Dewan Negara atau Rajya Sabha meluluskannya pada Rabu.

Pengkritik menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai pilih kasih terhadap mereka yang beragama Islam serta sebagai langkah awal terhadap pelan kerajaan nasionalis Hindu melaksanakan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) yang mensyaratkan rakyat membuktikan kewarganegaraan mereka.

Sesetengah ahli politik India membandingkan CAB dan NRC dengan undang-undang rasis era Nazi Jerman serta undang-undang kewarganegaraan Israel.

Bantahan turut diadakan di beberapa kawasan lain di India pada Jumaat sebagai membantah pelaksanaan undang-undang baharu itu.

Satu lagi demonstrasi besar-besaran dianjurkan di Universiti Islam Aligarh (AMU), di negeri Uttar Pradesh, 135 kilometer dari Delhi.

“Pelajar mahu berarak ke mahkamah daerah Aligarh tetapi dihalang dengan kehadiran sejumlah besar anggota keselamatan.

“Ramai membantah undang-undang ini kerana kami bimbang akan menjadikan India sebagai negara fasis Hindu,” kata pemimpin pelajar Mashkoor Ahmad Usmani.

Di timur laut India pula, rantau yang kerap bergolak akibat sengketa etnik, bahasa dan agama, bantahan ganas memaksa pasukan keselamatan menggantung perkhidmatan pengangkutan awam pada Khamis di banyak kawasan selain mengenakan perintah berkurung di Guwahati, bandar utama di Assam.

Penduduk di rantau itu bimbang orang luar akan menetap di kawasan mereka apabila CAB dilaksanakan serta akan mengganggu demografi rumit di situ.

Sidang Kemundak tahunan India-Jepun yang dijadual 15 hingga 17 Disember ini di Guwahati, terpaksa ditangguhkan akibat kekacauan itu.

India dan Jepun memutuskan untuk menangguhkan lawatan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe ke suatu tarikh yang lebih selesa antara kedua-dua belah pihak, menurut jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar pada Jumaat.

Tinggalkan komen anda