KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), khusus buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan bermula 21 Disember hingga 1 Januari ini bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sempena Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2020.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata bagi pengguna lebuh raya di Lembah Klang yang ingin menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor, mereka dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
“Bagi pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, mereka disarankan memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Bagi pengguna lebuh raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor yang ingin memasuki Lembah Klang, mereka dinasihatkan smemasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.
“Untuk pengguna dari lain-lain negeri atau destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang pula, anda dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang. Kita menggalakkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka berpandukan TTA dikeluarkan untuk menikmati perjalanan lebih lancar,” katanya.
Beliau turut yang turut menasihati pengguna lebuh raya supaya menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal dan memastikan mempunyai nilai baki yang mencukupi untuk perjalanan yang selesa.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada Jadual TTA yang disediakan PLUS sempena Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2020 itu melalui laman web PLUS www.plus.com.my dan menyemak maklumat trafik terkini menerusi Twitter PLUSTrafik, atau papan tanda elektronik lebuh raya. – BERNAMA
Tinggalkan komen anda