Petisyen haramkan Dong Zong hampir capai sasaran 300,000 tandatangan


shadow

KUALA LUMPUR: Petisyen dilancarkan Gerakan Pengundi Sedar (GPS) supaya Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) diharamkan, sudah hampir mencapai sasaran apabila meraih 216,030 sokongan, setakat jam 3.15 petang tadi.

Petisyen yang dilancarkan sejak jam 5 petang semalam itu menyasarkan 300,000 tandatangan daripada rakyat Malaysia melalui pautan https://www.change.org/p/perdana-menteri-malaysia-petisyen-haramkan-dong….

Berdasarkan keterangan pada petisyen itu, GPS mendesak Dong Zong diharamkan berikutan tindakan pertubuhan terbabit membantah keputusan kerajaan untuk memperkenalkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Pertubuhan itu juga didakwa mengumpulkan badan bukan kerajaan (NGO) Cina dan India serta menghasut menentang usaha kerajaan berkenaan.

“Akhirnya, kerajaan bertolak ansur dengan melonggarkan syarat pelaksanaannya sehingga pembelajaran ini menjadi pilihan dan setakat tiga muka surat dalam buku teks.

“Tidak berpuas hati dengan tolak ansur kerajaan, mereka bermain pula dengan sentimen agama, iaitu memfitnah tulisan Jawi dan khat sebagai satu usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam.

“Ini menimbulkan fitnah besar kepada negara, terutama umat Islam di Malaysia.

“Selain itu, mereka menuntut Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima sebagai tiket untuk masuk ke universiti awam, walaupun kerajaan sudah memberikan ruang untuk mereka masuk ke universiti swasta dan kerajaan negeri,” katanya.

Tinggalkan komen anda